Ahli Dewan Negeri Batu Tiga Danial Al-Rashid Haron berucap pada Karnival Kesihatan Rahmah anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga di pekarangan Masjid Al-Ubudiyyah, Seksyen 19 Shah Alam pada 25 Februari 2024. Foto SHEEDAFATHIL/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

ADN Batu Tiga selesai 60 peratus isu banjir sejak dipilih wakil rakyat

SHAH ALAM, 5 OGOS: Masalah banjir yang membelenggu penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga berjaya diselesaikan sebanyak 60 peratus, dalam tempoh setahun pentadbiran Kerajaan Negeri.

Wakil rakyatnya Danial Al Rashid Haron berkata isu banjir antara yang menjadi keutamaannya sebaik dipilih sebagai Ahli Dewan Negeri (ADN) pada 12 Ogos 2023.

Beliau berkata, pihaknya berjaya menyelesaikan empat daripada tujuh kawasan banjir yang dikenal pasti, menerusi pembinaan kolam tadahan, pam air dan tembok banjir.

“Memang banjir jadi keutamaan saya. Saya risau ia berulang seperti banjir besar pada 2021. Batu Tiga ini ada banyak kawasan rendah, seperti di Padang Jawa dan beberapa tempat di Seksyen 24.

“Dua tempat ini sudah diselesaikan dan yang lain sedang dalam perbincangan. Di Kampung Kebun Bunga kita pasang pam air, Padang Jawa kita bina kolam tadahan dan tambah pam air,” katanya kepada Selangorkini.

Danial, 38, antara wakil rakyat muka baharu dari Pakatan Harapan (HARAPAN) yang berjaya memenangi kerusi DUN Batu Tiga pada pilihan raya negeri (PRN) lalu.

Beliau meraih 29,064 undi menewaskan bekas Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun dan calon Muda, Syaidiyah Izzati Nur Razak Maideen dengan majoriti 3,382 undi.

Dalam pada itu, Danial berkata pihaknya bakal membuka pusat latihan e-sukan secara percuma bagi mencungkil bakat belia dalam sukan berkenaan.

Katanya, pusat latihan yang terletak bersebelahan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Batu Tiga di Seksyen 16 di sini, sedang menjalani proses ubah suai dan akan dibuka dalam tempoh terdekat.

“Kita sedang sediakan ruang untuk mereka datang main dengan tambah satu unit sebelah pusat khidmat, dan dianggarkan siap lagi dua bulan.

“Datang main di tempat kita, paling tidak ibu bapa tahu anak mereka di mana. Saya cadang buka pusat latihan dan sudah berhubung dengan Selangor Red Giants (SRG) serta beberapa pasukan lain,” katanya.


Pengarang :