SHAH ALAM, 5 OGOS: Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) dan Bank Data Kemiskinan Nasional (eKasih) bakal digunakan Kerajaan Selangor bagi menilai kesenjangan pendapatan penduduk negeri ini.
Dato’ Menteri Besar berkata ia membolehkan pentadbirannya menyusun program memperkasa rakyat, selaras status negeri baharu berpendapatan tinggi seperti dilaporkan Bank Dunia, Julai lalu.
Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan usaha itu juga dinyatakan dalam tawaran manifesto pilihan raya negeri tahu lalu, termasuk menawarkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.
“Kita sudah capai sasaran lengkap kadar purata, sekarang ingin mengurangkan kesenjangan antara pendapatan rendah dan tinggi, jadi akan teliti dan lihat data terperinci termasuk tidak rasmi.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/08/PSX_20240805_110555-500x333.jpg.webp)
“Ini disebabkan ada juga capai pendapatan tinggi dalam sektor tidak rasmi, jadi kita akan rujuk dengan kementerian ekonomi untuk ukur pendapatan peribadi serta peningkatan gaji,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri, yang berlangsung Auditorium Dewan Jubli Perak, di sini hari ini.
Meski tersenarai negeri berpendapatan tinggi, Amirudin berkata pentadbirannya akan terus berusaha dan bekerja keras untuk meningkat nilai ambang pendapatan.
Bulan lalu, pakar ekonomi Bank Dunia di Malaysia Dr Apurva Sanghi memaklumkan Selangor sebagai negeri baharu berpendapatan tinggi berdasarkan Laporan Bank Dunia.
Negeri tersebut mencapai pendapatan negara kasar (GNI) USD14,291 (RM67,374), melepasi paras GNI per kapita peringkat negeri iaitu USD14,005 (RM66,026).
Empat negeri yang melepasi tahap sama ialah Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sarawak dan Labuan melepasi tahap berkenaan dengan wilayah ibu negara tertinggi iaitu USD29,967 (RM141,279).