Tinjauan operasi rumah pam Taman Sri Muda di Klang pada 5 Ogos 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Pam tambahan keluarkan air lima kali ganda, kurang risiko bah Taman Sri Muda

KLANG, 5 OGOS: Penambahan tiga unit pam skru baharu di pintu air Taman Sri Muda, di sini mampu mengepam keluar air lima ganda, sekali gus mengurangkan risiko banjir di kawasan berhampiran.

Memiliki kapasiti keseluruhan 5,100 liter sesaat, pam berkos RM7.1 juta yang siap sejak Mei lalu
juga mampu menyedut dan mengeluarkan segala sampah tanpa sangkut, jelas EXCO infrastruktur.

Menurut Ir Izham Hashim, pembinaan itu tambahan kepada tiga unit sedia ada, yang akan berfungsi dengan cekap untuk jangka panjang bagi mengalihkan lebihan air jika berlaku hujan lebat.

“Keseluruhan kapasiti pam di pintu air Taman Sri Muda kira-kira 6,000 liter sesaat sekarang ini.
Taman Sri Muda sentiasa diberi perhatian kerana ia kawasan rendah dan menerima air yang banyak.

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim (kanan) melihat pelan rumah pam di Taman Sri Muda, Klang pada 5 Ogos 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

“Kapasiti (pam baharu) lebih laju untuk mengepam dan sampah tidak sangkut. Kalau pam biasa bila ada sampah akan tersumbat. Selain itu, ia sangat sesuai untuk jangka panjang,” katanya.

Terdahulu, beliau merasmikan rumah pam tersebut bersama Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan merangkap Ahli Parlimen Kota Raja Datuk Seri Mohamad Sabu di sini hari ini.

Ir Izham menambah projek itu meliputi skop lebih luas seperti perlindungan cerun dan tebing, pemasangan bekalan kuasa oleh Tenaga Nasional Berhad dan pembinaan kuarters penjaga rumah pam.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor Ir Nasser Salim berkata projek bermula 1 Julai 2021 memperoleh Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) pada 26 Mei lalu.

“Projek ini sepatutnya siap pada 1 Julai 2023, namun lewat disebabkan beberapa perkara termasuk Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan dan kejadian bencana alam 18 Disember 2021,” katanya.

Taman Sri Muda antara kawasan terjejas teruk dalam bencana banjir pada Disember 2021, yang meragut 25 nyawa termasuk enam warga asing di Selangor.

Selain memberi bantuan RM1,000 kepada 114,081 ketua isi rumah terjejas akibat banjir, Selangor turut bertungkus-lumus menggerakkan usaha membersih sisa banjir dari rumah dan premis perniagaan.


Pengarang :