SHAH ALAM, 5 OGOS: Lebih 10,000 pengunjung dijangka memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan ke-67 peringkat negeri di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, Seksyen 14 di sini, pada 30 Ogos ini.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelbagai aktiviti menarik disediakan termasuk perarakan dan perbarisan, persembahan artis selain penyampaian anugerah kepada tokoh kemerdekaan.
“Setiap tahun kita sambut dan dibuat pada malam 30 Ogos. Ada perbarisan, persembahan dan penyampaian anugerah tokoh. Anggaran lebih 10,000 akan datang.
“Jadi kita jemput semua datang untuk memeriahkan sambutan,” katanya selepas melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz hari ini.
Kempen berkenaan berlangsung sepanjang Ogos hingga 16 September depan.
Terdahulu beliau turut menyerahkan bendera kepada wakil pihak berkuasa tempatan (PBT) serta pejabat daerah dan tanah sebagai usaha untuk memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan.
Sementara itu, Amirudin turut mengarahkan PBT dan pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) mengeluarkan dana membeli bendera untuk diedarkan kepada penduduk.
“Bendera yang kita kibarkan ini melambangkan jiwa bangsa merdeka yang harus kita tanamkan dalam hati sanubari rakyat, anak-anak, generasi serta pelapis masa depan,” katanya.
Perdana menteri dalam ucapan Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 pada 21 Julai lalu menggesa semua lapisan rakyat termasuk sektor swasta untuk mengangkat semangat kemerdekaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang di premis kediaman dan pejabat masing-masing.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap semua rakyat dapat menjayakan misi itu seiring tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) tahun ini, iaitu Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka.