Orang ramai mengunjungi program derma darah yang diadakan di Dewan Sekolah Chen Moh, Petaling Jaya pada 4 Ogos 2024. Foto Fitri Hazim Hazam/MEDIASELANGOR
ADNSELANGOR

DUN Bukit Gasing bantu penduduk daftar kemudahan disediakan negeri

PETALING JAYA, 6 OGOS: Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing mengambil inisiatif membuka kaunter pendaftaran Iltizam Selangor Sihat (ISS) pada Program Derma Darah di Dewan Sekolah Chen Moh, di sini kelmarin.

Wakil rakyatnya R Rajiv berkata pembukaan kaunter bertujuan memastikan tiada penduduk tercicir mendapatkan bantuan rawatan asas yang disediakan negeri.

“Hebahan pembukaan kaunter telah dilakukan melalui media sosial, kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) dan pemasangan kain rentang di kawasan sekitar.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Gasing R Rajiv meninjau aktiviti pendaftaran program Iltizam Selangor Sihat (ISS) sempena Program Derma Darah DUN Bukit Gasing di Dewan Sekolah Chen Moh, Petaling Jaya pada 4 Ogos 2024. Foto
Fitri Hazim Hazam/MEDIASELANGOR

“Setakat jam 11 pagi 80 penduduk mendaftar dan sasaran 150 orang hingga tamat program,” katanya ditemui selepas meninjau aktiviti program derma darah.

Jelasnya, pembukaan kaunter turut diadakan untuk memberi kemudahan kepada golongan berpendapatan rendah (B40) mendapatkan akses rawatan kesihatan.

“Di Bukit Gasing, tiada klinik kesihatan kerajaan disediakan. Jadi, penduduk perlu mengeluarkan kos tambahan untuk mendapatkan khidmat e-hailing (Grab) dan mengambil cuti untuk ke kawasan lain.

“Namun, melalui program ISS ini, setiap ahli mempunyai pilihan untuk mendapatkan rawatan di 120 klinik swasta yang menjadi panel pada bila-bila waktu sekali gus menjimatkan kos dan masa,” jelasnya.

Belanjawan Selangor 2024 memperuntuk RM35 juta bagi kesinambungan program ISS yang membantu pemegang polisi mendapat rawatan segera di klinik swasta.

Setiap pemegang polisi ISS layak mendapat rawatan asas dan vaksinasi RM500 setahun bagi kategori keluarga manakala individu RM250 setahun di mana-mana klinik panel seluruh negeri.

 


Pengarang :