Logo Meta dilihat dalam ilustrasi yang diambil pada 22 Ogos 2022. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

Meta mohon maaf turunkan ucapan takziah PM di media sosial

SHAH ALAM, 6 OGOS: Meta Platforms Inc (Meta) memohon maaf kerana menurunkan ucapan takziah perdana menteri di Facebook dan Instagram berkaitan pembunuhan pemimpin Hamas Ismail Haniyeh.

Menyatakan ia ‘satu kesalahan operasi’, jurucakap penyedia platform media sosial itu menjelaskan kandungan media sosial Datuk Seri Anwar Ibrahim dikembalikan dengan ‘label berita yang sahih’.

“Kami memohon maaf atas kesalahan operasi, dan kandungan tersebut dimuat naik dengan label berita yang betul,” katanya menerusi e-mel kepada media antarabangsa Reuters.

Semalam, Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengadakan pertemuan dengan wakil Meta bagi mendapatkan penjelasan terperinci atas tindakan platform itu memadam hantaran terbabit.

Hantaran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diturunkan dari media sosial pada 31 Julai 2024. Foto Twitter Anwar Ibrahim

Pertemuan itu dihadiri Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Sebelum ini, PMO mengecam tindakan Meta menurunkan tiga hantaran perdana menteri berkaitan kematian Ismail selain menuntut permohonaan maaf secara terbuka.

Tiga hantaran bertarikh 31 Julai lalu itu berkaitan kenyataan Anwar mengutuk pembunuhan Ismail dan perkongsian gambar pertemuan dengan pemimpin Ketua Biro Politik Hamas berkenaan.

Penurunan hantaran dengan disertakan keterangan ‘dangerous individuals and organisations’ menyebabkan Anwar memberi peringatan terhadap Meta supaya tidak menjadi perkakas rejim Zionis.

Ismail dibunuh di Tehran, Iran pada Rabu lalu, selepas menghadiri majlis angkat sumpah presiden baharu negara itu dalam satu serangan yang didalangi rejim Zionis.


Pengarang :