AGENDANASIONAL

Ekonomi Malaysia dijangka terus berkembang walau berdepan cabaran luar

KUALA LUMPUR, 6 OGOS: Ekonomi Malaysia berada di landasan yang baik meskipun berdepan risiko kemelesetan di Amerika Syarikat (AS), kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

“Ekonomi sebenar adalah yang paling penting. Sebab itu kita melihat kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), Malaysia sememangnya kukuh.

“Kita berada di landasan yang baik dan akan terus berkembang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) Inspire 2024 di sini hari ini.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan ketika sesi soal jawab Pertanyaan-Pertanyaan Jawab Lisan pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada 11 Julai 2024. Foto BERNAMA

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai dampak kemungkinan kemelesatan AS terhadap ekonomi negara.

Amir Hamzah berkata unjuran Jabatan Perangkaan Malaysia bahawa ekonomi negara akan berkembang 5.0 peratus pada separuh pertama 2024, berada pada tahap tertinggi berbanding jangkaan Kementerian Kewangan sebanyak 4.0 peratus – 5.0 peratus.

“Sebab itulah, ringgit meningkat, bukan sahaja kerana AS ingin menurunkan kadar faedah tetapi turut kerana dasar yang bagus dibangunkan oleh kerajaan.

“Kita lihat ada banyak perkembangan yang baik dan tahap keyakinan juga meningkat,” katanya.

Beliau turut menyifatkan kejatuhan pasaran saham global semalam berikutan pembetulan berlebihan dan bersifat sementara dengan prestasi Bursa Malaysia dilihat pulih hari ini.

“Ia berlaku di seluruh dunia kerana beberapa peristiwa yang berlaku seperti unjuran kadar pengangguran AS yang tinggi sedikit menyebabkan keyakinan berkurangan.

“Terdapat juga jangkaan AS akan menurunkan kadar faedah. Kita lihat ada pegangan yang diambil, justeru, pasaran turun kerana settlement (penjualan) yang berlaku,” katanya.

Pada 12.19 tengah hari ini, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 30.85 mata kepada 1,567.33 daripada 1,536.48 pada Isnin.

– BERNAMA


Pengarang :