Qaseh Rania Khairul Najib berlepas ke Jerman pada 6 Ogos 2024 bagi menjalani sesi percubaan bersama kelab VFL Wolfsburg. Foto Harun Tajudin/MEDIASELANGOR
AGENDASUKANKINI

Misi pikat Wolfsburg, Qaseh Rania tekad pamer aksi terbaik

SEPANG, 6 OGOS: Pemain termuda Liga Super Wanita Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) Qaseh Rania Khairul Najib tekad mempamerkan aksi terbaik dalam sesi percubaan bersama kelab Bundesliga, VFL Wolfsburg.

Pemain berusia 14 tahun itu berkata dia tidak akan mensia-siakan peluang keemasan mengembangkan karier dan menempatkan diri sebaris dengan pemain wanita terbaik dunia dalam liga bola sepak wanita utama Jerman.

“Saya sudah bersedia lama dan betul-betul tidak sabar tunjukkan kebolehan yang ada. Sangat teruja untuk terlibat dalam suasana latihan di sana dan belajar sehabis baik.

“Selama setahun menunggu ini, latihan intensif yang saya lalui sangat ketat. Saya juga belajar bahasa Jerman walaupun belum fasih tetapi diharap memudahkan komunikasi,” katanya ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Hannover, Jerman hari ini.

Pemain Liga Super Wanita Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) Qaseh Rania Khairul Najib berlepas ke Jerman menjalani sesi percubaan bersama kelab VFL Wolfsburg pada 6 Ogos 2024. Foto Harun Tajudin/MEDIASELANGOR

Qaseh Rania yang diringi bapanya Khairul Najib Ibrahim akan memulakan sesi percubaan selama enam minggu bersama kelab gergasi bola sepak wanita itu sehingga September ini.

Pemain muda yang bermain di posisi penyerang tengah itu juga terbuka jika ditawarkan bermain di posisi lain jika terpilih menyertai kelab berkenaan selepas ini.

“Sekiranya mereka nampak saya ada potensi di posisi lain, saya terbuka. Apa yang penting fokus saya ketika sesi percubaan nanti adalah pamer aksi terbaik dan elak kecederaan,” katanya.

Sementara itu, Khairul Najib berkata aspek fizikal, teknikal dan psikologi diberi tumpuan dalam latihan intensif bagi memastikan anaknya benar-benar bersedia dalam sesi percubaan di Jerman nanti.

“Kita sudah sampai tahap ini. Tiada istilah patah balik, kita cuba sehabis baik supaya Rania dapat fokus ketika di sana. Kita mahu dia yakin tonjolkan kelebihan dan kemahiran yang ada,” katanya.

Khairul Najib Ibrahim menunjukkan teknik latihan yang diberikan kepada Qaseh Rania di Taman Tasik Shah Alam pada 2 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Qaseh Rania pernah meraih anugerah Pemain Muda Terbaik bagi saingan Liga Super Wanita FAS 2023 ketika beraksi bersama pasukan Majlis Bandaraya Subang Jaya FC.

Tahun lepas, video pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Puchong tersebut menjaringkan gol menerusi satu sepakan percuma menjadi tular di media sosial dan menjadi bualan orang ramai apatah lagi dia bermain bersama pasukan lelaki ketika itu.

Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI juga pernah membantu membangunkan bakat Qaseh Rania sejak 2020 termasuk menaja kos RM15,000 ketika mengikuti program latihan bersama kelab NK Osijek (Liga 1 Croatia) pada 2022.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat MBI Ahmad Azri Zainal Nor (tengah) bergambar bersama Qaseh Rania (kanan) dan Luth Qayyim selepas sesi temu ramah di Taman Tasik Shah Alam pada 2 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :