Ketua Pegawai Eksekutif PKPS, Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi bersama penerima geran pada Majlis Penyerahan Sijil Rakan Strategik Projek Tanaman Kontan Bernilai Tinggi di Wisma PKPS pada 5 Ogos 2024. Foto UFAIRAH TARMIDZI/MEDIASELANGOR
AGENSISELANGOR

Enam petani terima geran bernilai RM970,000, laksana projek tanaman kontan

Oleh Ufairah Tarmidzi

SHAH ALAM, 6 OGOS: Enam petani di negeri ini dipilih menerima geran RM970,000 daripada Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) untuk melaksanakan Projek Tanaman Kontan Bernilai Tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata usaha itu susulan Memorandum Persefahaman yang ditandatangani bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sebelum ini.

Projek memfokuskan tanaman kontan iaitu tanaman yang ditanam kurang setahun penanaman termasuk tempoh penuaian hasil tanaman.

“Hasil tanaman mestilah melibatkan tanaman kontan dan bernilai tinggi seperti cili. Pelbagai program disediakan dibawah KPKM dan Kementerian Ekonomi.

“Selain tu kita lihat juga keluasan ladang serta teknologi digunakan,” katanya ditemui pada Majlis Penyerahan Sijil Rakan Strategik Projek Tanaman Kontan Bernilai Tinggi PKPS dan KPKM di Wisma PKPS semalam.

Mengulas lanjut, Dr Mohamad Khairil berkata enam petani yang dipilih itu menepati kriteria ditetapkan terutama tanaman berasaskan tanaman kontan seperti cili padi, halia, pisang tanduk, tembikai dan betik.

Dana diberikan secara tunai kepada petani untuk pembelian barangan tanaman kontan yang diperlukan selain pihaknya juga akan membuat pemantauan setiap minggu.

Februari lalu, Kerajaan Selangor melalui PKPS menandatangani MoU bersama KPKM dengan peruntukan RM24 juta untuk memperkukuh agenda sekuriti makanan di bawah kerangka Pelan Transformasi Agro Selangor (PeTA).

Sementara itu petani, Nazri Salamat, 50, bersyukur terpilih menjadi salah seorang rakan strategik PKPS dalam usaha membantu Kerajaan Selangor melaksanakan pertanian berimpak tinggi serta meningkatkan kadar sara diri komoditi di negeri ini.

Petani, Nazri Salamat, 50. Foto UFAIRAH TARMIDZI/MEDIASELANGOR

Beliau yang memulakan tanaman pisang tanduk di tanah berkeluasan 15 ekar di Sungai Besar sejak empat tahun lalu itu juga berhasrat menghasilkan lebih banyak produk sama menggunakan geran RM250,000 bagi memenuhi permintaan pasaran.

“Saya bercadang nak besar dan perluaskan lagi tanaman pisang tanduk ini kerana banyak permintaan tetapi kita tak boleh penuhi,” katanya.

Petani, Mohd Izzat Ismail tidak menyangka permohonannya untuk menjadi sebahagian rakan strategik PKPS diterima selepas menjalani beberapa saringan sebelum ini.

Bermula dengan tanaman durian pada 2016, beliau megorak langkah menerusi Dusun Cikgu Ismail yang terletak di Hulu Selangor dengan menanam betik jenis Sekaki Callina sejak tahun lalu dan dalam proses menambah keluasan dua ekar lagi tanah bagi tanaman betik.

Petani, Mohd Izzat Ismail Foto UFAIRAH TARMIDZI/MEDIASELANGOR

“Salah satu sebab saya mohon dana dari peruntukan PKPS ini ialah untuk tambah bak, naik taraf infrastruktur di dusun saya,” katanya.


Pengarang :