Menteri Ekonomi Rafizi Ramli bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bergambar pada Majlis pelancaran Taman reka bentuk litar bersepadu (IC) semikonduktor di Menara 4, Pusat Korporat Kewangan Puchong (PFCC), Puchong pada 6 OGOS 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Lokasi strategik dorong Selangor jadi destinasi utama syarikat semikonduktor

SUBANG JAYA, 6 OGOS: Taman reka bentuk litar bersepadu (IC) semikonduktor Malaysia di Puchong menawarkan ekosistem kepada peneraju industri, institusi penyelidikan dan rakan kongsi rantaian bekalan.

Dibina dalam kawasan Lembah Klang Raya, Dato’ Menteri Besar berkata kedudukan strategik itu membolehkan Selangor menjadi destinasi utama syarikat semikonduktor.

“Kemudahan akses pengangkutan antara elemen penting disamping potensi perkembangan pada masa depan selain menjadi komponen penting dalam strategi memupuk inovasi dan keusahawanan.

“Pemilihan kawasan strategik ini juga akan menambah kredibiliti Selangor sebagai destinasi utama untuk sektor semikonduktor yang menawarkan peluang jalinan kerjasama dan pertumbuhan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Berucap pada majlis pelancaran taman berkenaan, Amirudin berkata kawasan seluas 60,000 kaki persegi yang beroperasi mulai hari ini menempatkan lebih 400 jurutera antaranya MaiStorage, Skyechip, Weeroc, dan AppAsia.

“Kita bangunkan taman ini bukan mahu bersaing dengan Pulau Pinang yang sudah lama meneroka sektor ini tetapi kerana Selangor mempunyai pelbagai rangkaian ekonomi sekali gus ini memberi impak kepada negara,” katanya.

Pada April, Selangor menandatangani memorandum persefahaman pembangunan taman IC berkenaan dengan empat syarikat termasuk ARM Ltd yang berpusat di United Kingdom, Shenzhen Semiconductor Industry Association (China).

Dikendalikan Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor, pusat yang turut melibatkan kerjasama Phison Malaysia dan SkyeChip mampu menjana pulangan ekonomi sehingga RM1 bilion selain bakal membuka peluang kerjaya dengan tawaran gaji mencecah RM7,000.

Taman itu turut disokong rakan ekosistem antarnya BlueChip VC, ARM Holdings, Cadence Design System, Synopsys, Siemens EDA dan Keysight.

 


Pengarang :