Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama kepimpinan kerajaan negeri mengibarkan Jalur Gemilang sempena pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat Selangor 2024 serta perhimpunan penjawat awam di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam ada 5 Ogos 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR
SELANGOR

Naik gaji: Penjawat awam gembira, tingkat motivasi beri khidmat lebih baik

SHAH ALAM, 6 OGOS: Penjawat awam di Selangor mengakui gembira dengan berita kenaikan gaji diumumkan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, semalam.

Pembantu tadbir tinggi Majlis Perbandaran Kuala Langat yang berkhidmat selama 27 tahun di negeri ini berkata Kerajaan Selangor sentiasa cakna kebajikan penjawat awam.

Norhisham Othman berkata berita gembira itu juga memberi suntikan semangat kepada kakitangan awam dalam menyampaikan perkhidmatan dengan lebih efisien.

Norhisham Othman

“Terima kasih kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Dato’ Menteri Besar (Dato’ Seri Amirudin Shari) yang mengumumkan berita gembira kepada penjawat awam.

“Sememangnya dengan kenaikan ini memberi suntikan semangat baharu kepada kami untuk terus meningkatkan kemahiran dan kepakaran dalam menuju sebuah negeri yang maju,” katanya kepada Selangorkini.

Penolong Pegawai Penerangan Bahagian Korporat Pejabat Setiausaha Kerajaan Selangor Nor Fariza Daud berkata kenaikan gaji membantu penjawat awam berdepan kekangan ekonomi.

“Kenaikan gaji ini sangat membantu dalam kita menghadapi kekangan ekonomi yang sedang dihadapi negara ketika ini.

“Selain rasa dihargai, kenaikan ini juga boleh meningkatkan semangat, produktiviti dan motivasi penjawat awam dalam penyampaian perkhidmatan,” katanya.

Perkara sama turut dikongsikan Timbalan Pengarah Korporat Majlis Perbandaran Selayang Ahmad Fauzi Ishak yang terlebih dahulu bersyukur dengan pengumuman Dato’ Menteri Besar.

Ahmad Fauzi Ishak

“Saya amat gembira dengan pengumuman tersebut memandangkan gaji penjawat awam ketika ini agak rendah. Ia sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada kami.

“Pengumuman ini juga akan menjadi motivasi untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat dan kerajaan,” katanya.

Semalam, Dato’ Menteri Besar mengumumkan lebih 21,000 penjawat awam negeri bakal menerima manfaat kenaikan gaji selaras dengan pengumuman dibuat perdana menteri pada 1 Mei lalu.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kadar baharu bergantung kepada kenaikan ditetapkan kerajaan persekutuan yang akan dimaklumkan pada 16 Ogos ini.


Pengarang :