Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024, Lee Zii Jia (perseorangan) dan beregu badminton lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik disambut meriah ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 7 Ogos 2024. Turut hadir Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky, jurulatih perseorangan negara Wong Tat Meng dan ketua jurulatih beregu lelaki negara Tan Bin Shen. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Jemaah Menteri ucap tahniah kejayaan Zii Jia, Aaron Chia, Wooi Yik di Olimpik Paris

PUTRAJAYA, 7 OGOS: Jemaah Menteri hari ini merakamkan ucapan tahniah kepada pemain badminton perseorangan negara Lee Zii Jia, dan beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik di atas kejayaan mereka mengharumkan nama negara di pentas sukan Olimpik Paris 2024.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan, dalam sidang media Mingguan Kabinet, di sini hari ini.

“Mereka telah memenangi pingat gangsa. Terima kasih juga kepada semua atlet yang telah dan akan berjuang demi nama Malaysia.

“Kita doakan mereka yang akan berjuang dan bertanding, dapat menunjukkan prestasi yang terbaik, Insya-Allah,” katanya.

Pemain badminton perseorangan negara, Lee Zii Jia menerima pingat gangsa dalam acara badminton perseorangan lelaki Sukan Olimpik Paris 2024, di Arena Porte De La Chapelle pada 5 Ogos 2024. Foto BERNAMA

Pada Isnin lepas, Zii Jia menyumbang pingat gangsa kedua Malaysia selepas bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan Lakshya Sen dari India dengan keputusan 13-21, 21-16, 21-11 dalam pertarungan mendebarkan berlangsung selama 71 minit di Porte de La Chapelle Arena.

Sehari sebelum itu, gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik menghadiahkan pingat pertama Malaysia di Paris 2024 selepas melakukan kebangkitan luar biasa untuk mengatasi pasangan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 16-21, 22-20, 21-19 dalam penentuan pingat gangsa.

Beregu lelaki badminton negara Aaron Chia dan Soh Wooi Yik ketika majlis penyampaian pingat bagi acara badminton pada Sukan Olimpik Paris 2024 di Arena Porte De La Chapelle pada 4 Ogos 2024. Foto BERNAMA

 

– BERNAMA


Pengarang :