SHAH ALAM, 7 OGOS: Permodalan Nasional Berhad (PNB) menawarkan pelbagai hadiah menarik bernilai sehingga RM1 juta kepada pengunjung Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) bermula 22 Ogos hingga 25 Ogos ini.
Pengerusi Kumpulan PNB Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata hadiah utama ialah sebuah unit apartment servis di Serasi Residences, Putra Heights dan kereta elektrik (EV) BYD Dolphin Standard tajaan Sime Darby.
Hadiah ketiga dan keempat pula Perodua Axia 1.0L AV dan Perodua Ativa 1.0L Turbo AV tajaan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua).
“Berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam, karnival literasi kewangan tahunan terbesar negara itu membawa tema ‘Kukuhkan Hidup Anda di MSAM’.
“Meneruskan inisiatif kami dari tahun sebelumnya, elemen STEM iaitu Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik akan menjadi tumpuan bagi memberi inspirasi kepada golongan muda,” katanya ketika berucap.
Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Jalinan Rakan Korporat sekali gus mengumumkan sembilan rakan korporat MSAM 2024 di Pusat Konvensyen Setia City di sini, hari ini.
Acara empat hari yang bermula Khamis itu akan disertai 50 gerai pempamer terdiri daripada syarikat Kumpulan PNB, bank, badan kawal selia dan agensi Kerajaan Negeri.
Raja Arshad berkata, MSAM 2024 membawa lebih banyak aktiviti menyeronokkan termasuk Festival Muzik Mini, Karnival Makanan Mini (Maybank Islamic MAE-Dan Selera) dan Festival Auto.
Selain itu, katanya, PNB menganjur program literasi kewangan lain seperti Sembang-Sembang ASNB, Kuiz Pelaburan PNB, Kelab Pelaburan Bijak PNB (KPBPNB), Fiesta Labur PNB @ Home dan Ramah Mesra ASNB.
“Pengunjung juga boleh mempelajari bagaimana pulangan yang diperoleh melalui pelaburan dalam syarikat-syarikat strategik ini diagihkan semula kepada pemegang unit dalam bentuk agihan pendapatan,” katanya.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi MSAM https://www.pnb.com.my/msam/ dan platform media sosial rasmi MSAM di Instagram: minggusahamdigital dan Facebook: Minggu Saham Amanah Malaysia.