Setiausaha Politik Perdana Menteri Farhan Fauzi menyerahkan sumbangan kepada Datuk Karam Singh Walia Ketika menziarahi tokoh wartawan alam sekitar itu di kediamannya pada 6 Ogos 2024. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

PM hulur sumbangan kepada Karam Singh Walia, ringankan beban kos perubatan

KUALA LUMPUR, 7 OGOS: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghulurkan sumbangan kepada tokoh wartawan alam sekitar Datuk Karam Singh Walia yang berdepan keadaan kesihatan membimbangkan selepas menghidap penyakit hati dan masalah buah pinggang.

Menerusi perkongsian di laman Facebook, Anwar berkata sumbangan itu disampaikan oleh Setiausaha Politiknya iaitu Ahmad Farhan Fauzi semalam yang mewakili beliau menziarahi Karam, selain berkesempatan berbicara mengenai pengalaman bekas wartawan TV3 itu membongkar kebobrokan petualang memusnahkan alam sekitar.

Perdana Menteri berkata beliau turut dimaklumkan berhubung keadaan kesihatan Karam, 65, yang kini membimbangkan selepas menghidap penyakit tersebut.

“Semoga sumbangan ini dapat meringankan beban kos perubatan yang ditanggung beliau.

“Saya mendoakan semoga saudara Karam Singh segera sembuh dan dapat mendidik anak-anak muda terkait kepentingan alam sekitar,” kata beliau.

Karam, yang terkenal kerana sering menyelitkan pantun dan kiasan ketika menyampaikan laporan berita, pernah berkhidmat sebagai wartawan di Media Prima selama 20 tahun bermula 1995 sebelum mengambil keputusan untuk bersara pada 2014 kerana masalah kesihatan.

– BERNAMA


Pengarang :