Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara yang baharu berkuat kuasa 12 Ogos 2024. Foto Facebook PMO Malaysia
AGENDANASIONAL

Shamsul Azri dilantik Ketua Setiausaha Negara baharu

KUALA LUMPUR, 7 OGOS: Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara yang baharu berkuat kuasa 12 Ogos ini.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini memaklumkan lantikan beliau adalah bagi menggantikan Tan Sri Mohd Zuki Ali yang akan tamat kontrak perkhidmatannya pada Sabtu ini.

Menurut kenyataan itu, lantikan Shamsul Azri juga telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Shamsul Azri, 55, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Pentadbiran Perniagaan) dari Universiti Tulsa Oklahoma, Amerika Syarikat.

Beliau turut menerima pendedahan di beberapa institusi antarabangsa antaranya Universiti Cambridge, United Kingdom dan Institut Pentadbiran Perniagaan Eropah (INSEAD).

Shamsul Azri memiliki pengalaman selama 30 tahun dalam perkhidmatan awam dan pernah bertugas di Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam serta pentadbiran kerajaan negeri.

“Jawatan terakhir beliau adalah sebagai Ketua Pengarah UKAS,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, kerajaan merakamkan penghargaan kepada Mohd Zuki atas segala khidmat bakti beliau sepanjang tempoh memegang jawatan Ketua Setiausaha Negara khususnya dalam usaha mengukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan awam dengan memperkenal pelbagai pembaharuan bagi memastikan agenda pembangunan negara berjaya dilaksanakan.

Mohd Zuki, 62, mula memegang jawatan sebagai KSN pada 31 Dis 2019 dan dilantik semula secara kontrak selama dua tahun berkuat kuasa dari 11 Ogos 2022 hingga 10 Ogos 2024.

– BERNAMA


Pengarang :