Orang ramai membantah pembunuhan pemimpin Hamas Ismail Haniyeh berhampiran kedutaan Israel di Amman, Jordan pada 31 Julai 2024. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Pembunuhan Ismail Haniyeh, OIC gesa PBB henti kekejaman Israel, selamat Palestin

JEDDAH, 8 OGOS: Dalam mesyuarat tergempar pada Rabu, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menganggap Israel bertanggungjawab sepenuhnya atas pembunuhan bekas Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyeh minggu lalu.

OIC menyifatkan tindakan itu sebagai “jenayah pencerobohan, pelanggaran terang-terangan undang-undang antarabangsa, dan pelanggaran serius terhadap kedaulatan Iran.”

Mesyuarat itu diadakan selepas Tehran menuduh Israel membunuh Haniyeh, yang juga merupakan ketua biro politik Hamas, lapor Agensi Anadolu.

Dalam kenyataan akhir yang dikeluarkan di Jeddah, Arab Saudi, OIC mengutuk tindakan yang disifatkan sebagai “jenayah perang dan genosid” yang dilakukan oleh Israel di Gaza dan Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis.

OIC menegaskan bahawa pembunuhan Haniyeh semasa beliau berada di Tehran adalah pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa, Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan serangan terhadap integriti wilayah dan keselamatan negara Iran.

OIC juga menggesa Majlis Keselamatan PBB (UNSC) untuk mengenakan gencatan senjata segera dan menyeluruh terhadap pencerobohan Israel serta memastikan akses kemanusiaan yang mencukupi dan berterusan di seluruh Semenanjung Gaza.

Situasi ini menimbulkan kebimbangan tentang kemungkinan peningkatan konflik, terutamanya selepas pembunuhan pemimpin Hezbollah, Fuad Shukr di Beirut dan kemungkinan tindak balas dari Iran setelah pembunuhan Haniyeh.

Peningkatan ketegangan ini berlaku ketika serangan besar-besaran Israel ke atas Semenanjung Gaza sejak Oktober lalu, walaupun terdapat resolusi UNSC yang menuntut gencatan senjata segera.

Sejak itu, hampir 40,000 rakyat Palestin terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan lebih 91,000 cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

— BERNAMA-ANADOLU

 

 

 


Pengarang :