AGENDANASIONAL

Selangor perlu tangani cabaran kekalkan status berpendapatan tinggi

Oleh Yasmin Ramlan

SHAH ALAM, 8 OGOS: Selangor mesti mengambil langkah kukuh untuk mengekalkan status berpendapatan tinggi yang diraih, termasuk menangani cabaran ke arah transformasi ekonomi mampan.

Ahli ekonomi Prof Datuk Rajah Rasiah berkata usaha itu penting bagi memastikan negeri ini terus mencatat peningkatan berterusan dalam pendapatan negara kasar (GNI) per kapita.

“Negeri ini melalui koordinasi dengan persekutuan mesti memberi tumpuan serius kepada peningkatan kualiti pendidikan dan modal insan, yang merupakan pusat kepada pembinaan ekonomi maju.

“Selangor perlu merangsang peningkatan dalam sektor perkhidmatan, yang dipacu aktiviti berasaskan pengetahuan, termasuk pengembangan teknologi Revolusi Industri (IR) 4.0,” katanya.

Pengunjung melawat reruai pada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 20 Oktober 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Bulan lalu, pakar ekonomi Bank Dunia di Malaysia Dr Apurva Sanghi memaklumkan Selangor sebagai negeri baharu berpendapatan tinggi dengan GNI mencecah RM67,374.

Empat negeri yang melepasi tahap sama ialah Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sarawak dan Labuan melepasi tahap berkenaan dengan wilayah ibu negara tertinggi iaitu RM141,279.

Dalam pada itu, Rajah berkata Kerajaan Negeri perlu mencari kaedah berkesan untuk memberi gambaran jelas berkenaan kehidupan penduduk selain memastikan sasaran bantuan yang lebih tepat.

Sementara itu, ahli ekonomi Prof Emeritus Datuk Zakariah Abdul Rashid berkata terdapat keperluan bagi Selangor mengekalkan pertumbuhan ekonomi kasar (GDP) dengan meningkatkan produktiviti.

“Memandangkan GNI per kapita Selangor hanya sedikit melebihi ambang Bank Dunia, cabaran terbesar dalam mengekalkan status ini adalah mencapai pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar yang pesat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melihat pameran sempena majlis sesi Perasmian Kajian Penggal Rancangan Selangor Pertama (RS-1) di Bangunan Annex, Shah Alam pada 4 Julai 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Ini boleh dicapai melalui aktiviti ekonomi yang meningkatkan produktiviti,” katanya, menambah status berpendapatan tinggi merujuk kepada kemampuan menarik pelaburan bernilai tinggi.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata saiz ekonomi Selangor bernilai RM406.1 bilion sepanjang tahun lalu, mengatasi gabungan tiga negeri utama.

Beliau memberitahu pencapaian tersebut mencipta sejarah berikutan Selangor negeri pertama di Malaysia yang nilai aktiviti ekonominya melebihi paras RM400 bilion.


Pengarang :