BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Peningkatan ringgit terbaik di Asia, galak pertumbuhan ekonomi

Oleh NOOR AMIN AHMAD

Dari semasa ke semasa kita akan mendengar orang ramai bercakap tentang naik turun nilai ringgit dalam pasaran.

Kekuatan mata wang bermaksud kuasa membeli relatif sesebuah mata wang untuk membeli produk atau perkhidmatan. Ini lazimnya dinilai melalui perbandingan jumlah kuantiti barang yang dibeli pada nilai tertentu.

Ia juga diukur melalui kadar tukaran dengan mata wang lain. Ini selalu dilihat sama ada di papan tanda pengurup wang berlesen atau di mana-mana aplikasi penukaran mata wang.

Secara mudahnya, orang ramai melihat turunnya nilai ringgit beerti ekonomi tidak berada dalam keadaan baik. Begitu pula naiknya nilai ringgit menunjukkan ekonomi dalam keadaan baik.

Meskipun tanggapan ini tidak sepenuhnya tepat, namun ia masih boleh diterima secara umum. Maka, tempiasnya akan terkena kepada mana-mana kerajaan semasa yang mentadbir.

Sebagai sebuah negara dagang yang relatif kecil, naik turun nilai ringgit dipengaruhi oleh pebagai faktor. Ada yang boleh dikawal dan ada yang tidak boleh dikawal misalnya inflasi dan pertumbuhan dalam ekonomi domestik, kadar faedah yang dikenakan bank negara atau bank pusat di negara lain, imbangan dagangan dan permintaan serta penawaran dalam pasaran pertukaran asing.

Sejak dulu, negara kita cuba mengekalkan kadar inflasi yang rendah, tidak melebihi 4 peratus. Sejak 2023, kadar inflasi dalam keadaan yang sangat terkawal.

Lebih menarik lagi, ia dapat dilakukan dalam keadaan Bank Negara Malaysia mengekalkan kadar faedah semalaman pada tahap yang sama meskipun lazimnya mana-mana bank pusat negara lain menaikkan kadar ini bagi menangani kesan kenaikan kadar faedah di Amerika Syarikat.

Pemulihan eksport

Pertumbuhan negara menunjukkan angka yang sangat menggalakkan, iaitu pada kadar 4.2 peratus pada suku pertama 2024 dan diunjur 5.8 peratus pada suku kedua 2024, melebihi daripada unjuran yang dibuat oleh pelbagai pihak.

Ini antara lain disumbangkan oleh pemulihan eksport sebanyak 5.2 peratus pada suku pertama 2024 dan pertumbuhan pelaburan swasta pada tahap 9.2 peratus dalam tempoh yang sama.

Limpahannya dapat dilihat misalnya pada pasaran buruh tempatan di mana meskipun jumlah tenaga kerja bertambah daripada 17.12 juta orang kepada 17.15 juta orang, peratus pengangguran berkurangan sebanyak 0.1 peratus dan jumlah tenaga kerja meningkat daripada 16.56 juta pada April 2024 kepada 16.58 juta pada Mei 2024.

Pelbagai berita positif misalnya peningkatan status oleh badan penarafan seperti Fitch dan Standard & Poor serta JP Morgan yang menunjukkan keyakinan terhadap dasar dan kemampuan Malaysia untuk terus tumbuh dan menangani isu-isu yang sebelum ini menyebabkan rating negara diturunkan.

Fakta jelas setakat tahun (year-to-date), mata wang Ringgit Malaysia mengalami peningkatan terbaik di Asia dan keenam terbaik di dunia selepas Rupee Sri Lanka, Rouble Russian, Pound British, Rand Afrika Selatan dan Dinar Morocco.

Nampaknya dasar-dasar baru kerajaan, serta usaha Perdana Menteri sendiri yang bertungkus-lumus mengukuhkan hubungan diplomatik yang luas dan bertemu pelabur di seantero dunia mula menunjukkan hasil. Kita mengharapkan pencapaian baik ini akan terus meningkat dan memanfaatkan rakyat untuk kesejahteraan bersama.

*** Penulis adalah pengerusi Institut Terjemahan Buku Negara dan bekas ahli parlimen


Pengarang :