Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (enam,kiri) bergambar bersama penerima ketika pelancaran Program Agihan Fidyah Mais Wang Saku Pelajar pada 8 Ogos 2024 di Hotel UiTM Puncak Alam. Foto SHEEDAFATHIL/MEDIASELANGOR
AGENSISELANGOR

8,000 pelajar kurang mampu terima wang saku, libat peruntukan RM2.4 juta

KUALA SELANGOR, 8 OGOS: Seramai 8,000 pelajar kurang berkemampuan di negeri ini menerima manfaat wang saku daripada Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dengan peruntukan keseluruhan RM2.4 juta.

Pengerusinya berkata wang saku itu diagihkan kepada lapan Rakan Strategik Agihan Fidyah Mais terdiri daripada enam universiti serta dua agensi iaitu Jabatan Agama Islam Selangor dan Yayasan Islam Darul Ehsan.

Menurut Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof institusi terlibat adalah Universiti Teknologi MARA; Universiti Selangor; Universiti Kebangsaan Malaysia; Universiti Putra Malaysia; Universiti Islam Selangor serta Management & Science University.

“Peruntukan ini melibatkan agihan kepada 8,000 pelajar di seluruh Selangor yang memenuhi syarat penerima agihan fidyah wang saku dengan masing-masing menerima RM300 seorang.

“Objektif agihan fidyah wang saku adalah bagi meringankan beban kewangan pelajar; melaksanakan kepatuhan syarak dan memperluas fungsi serta peranan Mais.

“Semoga dengan pemberian ini dapat memberi impak positif kepada prestasi akademik pelajar sekali gus menyumbang pembangunan modal insan berkualiti untuk Selangor dan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Agihan Fidyah Mais Wang Saku Pelajar di Hotel UiTM Puncak Alam di sini hari ini.

Mengulas berhubung kriteria penerima agihan fidyah wang saku pelajar, Abdul Aziz berkata mereka tergolong dalam kalangan fakir miskin atau miskin sementara yang terkesan akibat musibah tertentu.

“Mais berperanan penting dalam menguruskan agihan fidyah yang dikumpulkan daripada umat Islam di negeri ini.

“Agihan ini bagi memastikan sumbangan fidyah dimanfaatkan secara optimum demi kepentingan golongan memerlukan,” katanya.


Pengarang :