EXCO Hal Ehwal Orang Asli V Papparaidu bersama Ketua Pegawai Eksekutif MBI Saipolyazan M Yusop menyerahkan kunci rumah kepada Senah Ni pada program penyerahan kunci rumah baru Orang Asli Hulu Selangor 2024 di Kampung Orang Asli Pertak, Kuala Kubu Baharu dan Kampung Orang Asli Gurney, Batang Kali pada 23 Jun 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Selangor peruntuk RM500,000 jayakan program pembangunan Orang Asli

SHAH ALAM, 8 OGOS: Selangor memperuntuk RM500,000 bagi menjayakan pelbagai program pembangunan Orang Asli sepanjang tahun ini.

EXCO hal ehwal Orang Asli berkata RM246,832 daripadanya sudah disalurkan setakat Julai untuk program pendidikan, projek naik taraf kediaman dan baik pulih prasarana.

EXCO Hal Ehwal Orang Asli V Papparaidu ketika sidang media sempena sambutan Hari Orang Asli Sedunia  di pejabatnya di pusat pentadbiran negeri, Shah Alam pada 8 Ogos 2024. Foto SHUHAILA SHAHRUL ANWAR/MEDIA SELANGOR

“Turut diadakan program gotong-royong di perkampungan Orang Asli dan bengkel pemantapan pimpinan.

“Kita akan pastikan keperluan dan suara Orang Asli sentiasa dipenuhi khususnya berkaitan hal persempadanan tanah adat dan kemajuan prasarana mereka,” kata V Papparaidu hari ini.

Bercakap pada sidang media sempena sambutan Hari Orang Asli Sedunia di sini, beliau berkata kebajikan Orang Asli sentiasa menjadi keutamaan bagi memastikan mereka tidak tercicir dari arus pembangunan.

“Ini termasuklah penekanan mengenai kepentingan pendidikan dalam kalangan mereka. Kerajaan Negeri sedia pelbagai bantuan termasuk Program Khas Biasiswa Sagong Tasi untuk membantu mereka melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi.

“Saya juga minta pimpinan Orang Asli dan Tok Batin untuk sama-sama cakna mengenai kepentingan pendidikan pada anak-anak Orang Asli. Kita mahu pastikan sekurang-kurangnya mereka mendapat pendidikan hingga peringkat Sekolah Menengah dan lebih baik ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

EXCO Hal Ehwal Orang Asli V Papparaidu pada program gotong-royong baik pulih jalan di Kampung Orang Asli Sungai Buah, Dengkil pada 21 Julai 2024. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI

Terdahulu, Papparaidu memaklumkan sambutan Hari Orang Asli peringkat Selangor dan Wilayah Persekutuan dijadual berlangsung 25 Ogos di Kampung Orang Asli Serigala, Hulu Selangor.

“Pelbagai pengisian menarik termasuk persembahan kebudayaan disediakan dan dijangka dihadiri kira-kira 500 tetamu,” katanya.

Hari Orang Asli Sedunia disambut pada 9 Ogos setiap tahun bagi mempromosi dan melindungi hak penduduk asli dunia serta mengiktiraf sumbangan mereka kepada masyarakat global.

Bagi peringkat kebangsaan, sambutan tahun ini dijadual berlangsung esok di Tondong, Bau, Sarawak.

 

 


Pengarang :