Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama pelumba cilik dan kakitangan HBC ketika Majlis Perasmian Litar Horizon Beranang (HBC) di Taman Perindustrian Mahkota, Beranang, Hulu Langat pada 8 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor tumpu lahir atlet sukan permotoran, tiga litar lumba cungkil bakat

HULU LANGAT, 8 OGOS: Kerajaan Negeri akan memberi tumpuan melahirkan bakat dalam dunia permotoran melalui kemudahan tiga litar lumba di Selangor, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ia boleh dilakukan melalui rancangan pembangunan dan penganjuran kejohanan oleh Majlis Sukan Negeri (MSN) seterusnya menyediakan peluang buat pelumba mempamerkan bakat.

“Selangor ada tiga litar iaitu Litar Lumba Rakyat, Litar Antarabangsa Sepang dan terbaru Litar Horizon Beranang. Keutamaan untuk gabungkan tiga litar supaya pembangunan lebih teratur.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Majlis Perasmian Litar Horizon Beranang (HBC) di Taman Perindustrian Mahkota, Beranang, Hulu Langat pada 8 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Saya akan bincang dengan MSN Selangor untuk menganjur kejohanan supaya bakat yang dilatih ini mendapat pengiktirafan negeri. Ia juga untuk menguji kebolehan pelumba di litar lebih kompetitif,” katanya.

Ditemui selepas merasmikan Litar Horizon Beranang, Amirudin menambah pembukaan litar lumba itu akan membangunkan bakat baharu sukan permotoran, ekonomi masyarakat dan merancak aktiviti pelancongan di kawasan sekitar.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Horizon Beranang Circuit Mohamad Yusaini Nowawi memaklumkan litar berkenaan dibuka secara rasmi kepada awam sejak 1 Ogos lalu.

Jelasnya litar berkeluasan 5.7 ekar sepanjang satu kilometer dengan jumlah 13 selekoh dilengkapi pelbagai kemudahan untuk keselesaan orang ramai menonton atau menyertai sebarang acara.

“Ia dilengkapi sistem masa automatik Mylaps, lampu isyarat amaran LED PixelCom dan liputan kamera tertutup sepenuhnya.

“Kemudahan asas lain termasuklah ruangan parkir, platform penonton menampung hingga 200 orang, ruang paddock, bilik solat, tandas dan ruang kafe,” jelasnya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menandatangani plak ketika merasmikan Majlis Perasmian Litar Horizon Beranang (HBC) di Taman Perindustrian Mahkota, Beranang, Hulu Langat pada 8 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Litar Horizon Beranang dibangunkan Horizon Motorsport dengan kerjasama Kerajaan Selangor melalui Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Pembangunan litar bermula Julai 2023 dan siap sepenuhnya Mei lalu.

“Pembinaan mendapat kelulusan selepas beberapa sesi pembentangan cadangan dalam mesyuarat pelaburan MPKj pada 2022. Harapan saya litar ini turut memberi manfaat pelancongan.

“Minggu lalu, acara perlumbaan FIM MiniGP Malaysia Series ke-4 dianjurkan di litar ini menarik kehadiran 1,200 pengunjung termasuk luar negara. Penginapan rumah inap di Beranang dan Semenyih habis ditempah,” ujarnya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melepaskan pelumba cilik ketika merasmikan Majlis Perasmian Litar Horizon Beranang (HBC) di Taman Perindustrian Mahkota, Beranang, Hulu Langat pada 8 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR
Aksi pelumba cilik berlumba di dalam litar baru selepas Majlis Perasmian Litar Horizon Beranang (HBC) di Taman Perindustrian Mahkota, Beranang, Hulu Langat pada 8 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Pengarang :