HULU LANGAT, 8 OGOS: Kerajaan Negeri menggalakkan lebih banyak hotel dan inap desa dibina bagi merancakkan lagi sektor pelancongan di Beranang.
Dato’ Menteri Besar berkata kemudahan itu juga bagi menampung kehadiran pelancong termasuk dari luar negara susulan pembinaan Litar Horizon Beranang.
Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) akan meneliti tapak yang strategik selain mengenal pasti pelabur untuk menyediakan kemudahan itu.
“Susulan pembinaan Litar Horizon Beranang ini, dijangka pelbagai kejohanan antarabangsa akan dianjur, melihat jumlah kemudahan hotel di sini ia tidak cukup menampung kedatangan pelancong termasuk luar negara.
“Di Beranang sentiasa menjadi tumpuan, berdekatan dengan Bukit Broga. Jadi pembinaan hotel ini memberi lebih banyak pilihan buat pelancong untuk melawat tempat menarik lain seperti Sungai Congkak dan Sungai Lui,” katanya hari ini.
Ditemui selepas merasmikan Litar Horizon Beranang di sini, Amirudin menambah litar yang dibangunkan oleh kelab permotoran Horizon Motorsport dengan kerjasama Kerajaan Selangor melalui MPKj memenuhi matlamat Rancangan Selangor Pertama (RS-1).
“Harapan Selangor, wujud sinergi kerjasama erat antara jabatan dan pihak kerajaan, swasta dan persendirian untuk bersama-sama membangunkan negeri seperti Kerjasama litar ini.
“Kalau harap kerajaan sahaja melaksana pembangunan, ia tidak akan menjadi rancak,” katanya.
Litar di atas tanah seluas 5.7 ekar yang memuatkan trek lumba sepanjang 1km dengan 13 selekoh itu turut dilengkapi pelbagai kemudahan.