AGENDAJENAYAH

Remaja perempuan ditahan, ceroboh, menyamar petugas hospital

PUTRAJAYA, 8 OGOS: Remaja perempuan ditahan polis kerana disyaki menceroboh dan menyamar petugas hospital, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata remaja berusia 14 tahun warga tempatan itu ditahan pada 9 pagi di lobi Hospital Sultan Idris Shah, Serdang.

“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang menerima laporan daripada kakitangan hospital berkenaan pada 1 tengah hari, berkaitan perempuan tidak dikenali berada dalam dewan bedah mengaku pegawai perubatan yang akan membantu menjalankan pembedahan.

“Hari ini jam 8.30 pagi, pihak hospital mengenal pasti kehadiran individu sama cuba mendaftarkan diri di kaunter menggunakan identiti palsu. Pihak hospital terus menghubungi polis dan tangkapan dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata polis turut merampas baju dan seluar scrub serta lanyard hak milik hospital.

Wan Kamarul Azran berkata kes disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan 170 Kanun Keseksaan iaitu menceroboh dan menyamar penjawat awam.

Jika sabit kesalahan menceroboh, boleh dihukum penjara tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya manakala hukuman menyamar penjawat awam pula boleh dipenjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

– BERNAMA


Pengarang :