Pameran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 25 Julai 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

SIBS siri 2 berlangsung Oktober, sasar nilai transaksi RM1 bilion

SHAH ALAM, 9 OGOS: Sidang Kemuncak Niaga Selangor (SIBS) dijadual berlangsung empat hari pada Oktober ini dengan jangkaan nilai transaksi hampir RM1 bilion.

EXCO pelaburan berkata jangkaan meliputi Ekspo Antarabangsa Selangor (Makanan dan Minuman) sebanyak RM600 juta, Ekspo Antarabangsa Selangor (Perubatan) RM15 juta serta Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor berjumlah RM200 juta.

“Sasaran ini berdasarkan rekod-rekod yang dicapai dalam beberapa penganjuran sebelum ini. Kita yakin sepanjang berlangsung, jumlah ini mampu dicapai sekali gus mengukuhkan status Selangor sebagai pusat pelaburan

SIBS siri pertama diadakan pada bulan lepas. Buat julung kali SIBS dianjur dua sesi kerana mendapat permintaan tinggi negara luar. Malah acara ini menjadi platform untuk Selangor menguasai pasaran serantau,” kata Ng Sze Han kepada SelangorKini.

EXCO Pelaburan Ng Sze Han berucap ketika sesi dialog khas dalam Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 25 Julai 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Tahun ini buat julung kali Kerajaan Negeri menerusi Invest Selangor menganjur SIBS secara dua siri dengan pertama berlangsung pada 25 hingga 27 Julai manakala yang kedua pada 16 hingga 19 Oktober depan.

Siri pertama melibatkan Ekspo Taman Perindustrian Selangor (Spark) dan Persidangan Perniagaan Asean Selangor (SABC) menjana nilai transaksi RM12.2 bilion, hampir dua kali ganda daripada sasaran keseluruhan RM7 bilion.

Berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, sidang menyaksikan penyerahan 23 surat setuju terima (LOA), surat hasrat (LOI), memorandum perjanjian (MoA) dan memorandum persefahaman (MoU).

Sidang bertaraf antarabangsa itu menarik kehadiran 8,500 pelawat selain turut disertai negara jiran Asean, Australia, Kanada, China, Perancis, Jerman, Jepun, dan United Kingdom.


Pengarang :