Perancis menampilkan upacara pembukaan Sukan Olimpik Paris 2024 menakjubkan dan unik bermula dengan perarakan terapung di sepanjang Sungai Seine dan berakhir di Menara Eiffel yang ikonik.
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Sensasi Olimpik, dari isu jantina hingga penginapan atlet

Sejak acara pembukaan, Olimpik di Paris diwarnai kontroversi, pencapaian unik dan aksi atlet mencuri tumpuan masyarakat global.

Pembukaan rasmi temasya sukan terbesar dunia itu dicemari adegan tidak menghiraukan sensitiviti agama, budaya dan kepercayaan masyarakat dunia.

Selain itu, terdapat kontroversi pertandingan antara atlet membabitkan sukan tinju, renang dan balapan. Selangorkini menyorot antara tumpuan sensasi Olimpik di Paris tahun ini.

Sungai Seine kotor, perkampungan Olimpik tiada air

Pemilihan Sungai Seine sebagai lokasi sukan mendapat bantahan sebelum Olimpik berlangsung berikutan pencemaran airnya teruk.

Sepanjang lebih 100 tahun, orang ramai dilarang berenang kerana dibimbangi tertelan air mengandungi bakteria berbahaya. Meski Perancis membelanjakan 1.4 bilion Euro (RM6.7 bilion) untuk merawat sungai itu, ia masih tercemar.

Kebimbangan itu menjadi kenyataan apabila peserta triatlon Kanada, Tyler Mislawchuk muntah sebaik melintasi garisan penamat selepas berenang 1.6 kilometer di sungai terbabit.

Perkampungan Olimpik Paris juga menjadi isu apabila berlaku masalah bekalan air. Ia disuarakan seorang atlet Argentina yang terpaksa mandi di gimnasium.

Pemain tenis Amerika Syarikat (AS) Coco Gauff pula mempersoalkan bilik sempit perkampungan itu memaksa skuad tenis AS menyewa bilik hotel.

Persoal antidoping renang

Perenang Britain Adam Peaty mempersoal kemenangan China selepas pasukan itu meraih pingat emas acara 4×100 meter berganti-ganti lelaki mengalahkan AS.

Dua daripada empat pemenang emas itu, Qin Haiyang dan Sun Jiajun antara 23 perenang China positif ujian doping menjelang Olimpik Tokyo tiga tahun lalu, namun tidak dikenakan larangan bertanding.

Perenang AS, Caeleb Dressel pula mendakwa tidak yakin pesaingnya bebas bahan terlarang serta mempersoalkan ketelusan penguatkuasaan antidoping sukan renang.

Isu status jantina

Peninju wanita Algeria Imane Khelif tular apabila status jantinanya dipersoalkan kerana memiliki tubuh badan dan kekuatan seperti seorang lelaki.

Terdahulu, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) membenarkan dua peninju termasuk Imane bertanding di Sukan Olimpik selepas beliau disahkan bukan transgender.

Lawannya, Angela Carini dari Itali menarik diri daripada perlawanan selepas tidak tahan dibelasah dalam 40 saat awal pusingan 16 acara welterweight wanita.

Gaya menembak santai

Gaya santai atlet menembak Türkiye Yusof Dikec tanpa sebarang peralatan bantuan membidik tular di media sosial seluruh dunia.

Ketika menembak, pemenang pingat perak berusia 51 tahun itu memakai kemeja-T dengan satu tangan dalam poket, bercermin biasa dengan ekspresi wajah tenang.

Pemenang pingat emas acara menembak wanita dari Korea Selatan, Kim Ye-ji juga mendapat perhatian global apabila menunjukkan muka ‘dingin’ semasa membidik.

Seperti Yusof, Kim juga memasukkan sebelah tangan dalam poket sambil menembak dengan postur badan membongkok, seperti watak-watak animasi Jepun popular di Asia.

Larian 100 meter paling sengit

Acara balapan 100 meter akhir Olimpik Paris 2024 ialah paling sengit dalam sejarah kejohanan itu apabila pemenang terpaksa diputuskan menerusi kaedah foto penamat.

Pelari pecut AS, Noah Lyles yang meraih emas hanya dibezakan 0.005 saat dengan pemenang pingat perak dari Jamaica, Kishane Thompson.

Dalam perlumbaan itu, Lyles melakar catatan peribadi terbaik 9.79 saat dengan Kishane turut mencatat masa 9.79 saat.

Atlet tanpa negara

Ivan Litvinovich and Viyaleta Bardzilouskaya menjadi dua atlet individu neutral pertama meraih pingat Olimpik. Ivan mendapat emas gimnastik trampolin manakala Viyaleta meraih perak acara sama kategori wanita.
Kedua-dua atlet itu berasal dari Belarus. Belarus dan Rusia dilarang ke Olimpik kerana terlibat perang Ukraine. Namun, IOC menjemput atlet yang layak dari dua negara itu bertanding sebagai atlet individu neutral.

Penerjun sempurna

Atlet terjun Quan Hongchan dari China meraih emas dengan markah 10 pada lima terjunan pertama dalam temasya ini.

Gadis berumur 17 tahun itu pernah mendapat markah 10 dan mendapat emas di Olimpik Tokyo. Beliau juga juara dunia tiga sukan terjun.

Emas berturut sejak Olimpik 1988

Korea Selatan memenangi pingat emas ke-10 berturut-turut acara memanah berpasukan wanita selepas menewaskan China 5-4.

Negara itu mengekalkan dominasi penuh acara terbabit meraih setiap pingat emas sejak memanah berpasukan wanita diperkenalkan di Olimpik 1988.

Foto: Reuters & Facebook Olympics


Pengarang :