AGENDANASIONAL

Datuk, nenek, cucu umur 11 tahun maut kebakaran rumah

MUAR, 9 OGOS: Sepasang suami isteri bersama cucu perempuan mereka berumur 11 tahun maut dalam kebakaran rumah di Jalan Sekolah, Kampung Paya Redan, di sini, awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, dan isterinya Ara Abdul Hamid, 76, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala cucu mereka Noradriana Nor Hisyam, meninggal dunia semasa mendapat rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini.

Beliau berkata seorang lagi cucu kepada pasangan warga emas itu Norazima Mohd Radhi, 14, cedera di kepala dan kini dirawat di HPSF.

“Menurut saksi kebakaran rumah diperbuat daripada separuh kayu dan batu itu berlaku sekitar 1.30 pagi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Raiz Mukhliz berkata kemusnahan rumah adalah sekitar 85 peratus dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Sementara itu Komander Operasi Kanan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar PPgB Mohd Fadli Ismail berkata 21 anggota dari BBP Muar dan Pagoh bergegas ke lokasi kejadian selepas pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada pukul 2.25 pagi.

Beliau berkata sebaik tiba, kira-kira 85 peratus daripada struktur bangunan rumah itu sudahpun musnah, dan dua warga emas itu ditemui rentung sekitar pukul 2.40 pagi,

“Operasi memadamkan kebakaran tamat pada pukul 4.24 pagi,” katanya.

— BERNAMA

 


Pengarang :