Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang Chua Wei Kiat bersama wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) melakukan tinjauan di lokasi kerap berlaku kemalangan di Rawang. Foto Facebook Chua Wei Kiat bertarikh 6 Ogos 2024
ADNSELANGOR

Kajian lalu lintas tangani kesesakan, kemalangan jalan raya di Rawang

SHAH ALAM, 9 OGOS: Pembinaan penghalang kekal dan bonggol antara langkah dirancang bagi mengatasi kemalangan jalan raya di beberapa kawasan panas sekitar Rawang.

Wakil rakyatnya Chua Wei Kiat berkata kawasan yang sering menerima aduan turut menjadi tumpuan bagi penilaian semula sistem lampu isyarat dan kajian terperinci lalu lintas.

Berdasarkan tinjauan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR), Wei Kiat berkata antara punca kemalangan termasuk pemandu membuat pusingan ‘u’ dan membelok di kawasan tidak dibenarkan.

“Di depan AEON Rawang, penghalang akan didirikan untuk mencegah kenderaan membelok dan menjamin keselamatan jalan raya.

“Di simpang berhadapan stesen minyak Shell Kampung Lee Kim Sai, pemandu membuat pusingan ‘u’ haram dan sering berlaku kemalangan.

“Kajian penilaian keadaan lalu lintas semasa akan dibuat dan merangka langkah keselamatan bagi mengurangkan kemalangan,” katanya menerusi Facebook.

Katanya sistem lampu isyarat sedia ada di Sungai Bakau akan dinilai untuk mengoptimum masa lampu hijau dan meningkatkan kecekapan aliran lalu lintas.

“Selain itu sistem GreenWave digunakan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas dari Lotus Rawang ke pusat bandar. Lampu isyarat di kawasan itu diselaras guna teknologi baharu untuk meningkatkan kecekapan perjalanan.

“Semua perancangan itu bertujuan meningkatkan keselamatan jalan raya dan kecekapan lalu lintas seterusnya mengatasi kemalangan jalan raya di sekitar Rawang,” katanya.


Pengarang :