Replika pesawat kawalan jauh dan dron pelbagai model dipamerkan kepada pengunjung sempena Pameran Udara Selangor (SAS) 2022 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Bukit Jelutong, Shah Alam pada 9 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Selangor tekad perkasa aeroangkasa, lahir bakat baharu penuhi pasaran kerja

SHAH ALAM, 9 OGOS: Kerajaan Negeri melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memperkasakan industri aeroangkasa sekali gus menjayakan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dan Pelan Tindakan Aeroangkasa Selangor.

EXCO belia berkata kursus latihan penyelenggaraan dan baik pulih enjin pesawat antara usaha menarik belia dan melahirkan tenaga kerja bagi memenuhi pasaran pekerjaan dalam sektor berkenaan.

Menurut Najwan Halimi, pengajuran Pameran Udara Selangor (SAS) yang melibatkan pemain industri utama juga bertujuan memberi pendedahan terbaik mengenai bidang aeroangkasa kepada belia.

EXCO Sukan Najwan Halimi berucap ketika majlis penyerahan sumbangan MBI selangor kepada Persatuan Memanah Selangor dan Kesatuan Ragbi Selangor di Bangunan Darul Ehsan pada 24 Jun 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Potensi pasaran kerja dalam bidang ini bukan hanya tertumpu graduan kelulusan dari Sarjana Muda sahaja, malah anak muda yang berkelulusan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET), teknologi maklumat (IT) dan kecerdasan buatan (AI).

“Minggu hadapan, Universiti Teknologi Mara (UITM) Shah Alam akan menganjur program ‘Merakyatkan AI’ yang akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ia turut memberi ruang baik buat belia memahami bidang aeroangkasa,” katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini, EXCO Pelaburan Ng Sze Han optimis Pelan Tindakan Aeroangkasa Selangor 2020-2030 bakal memacu pembangunan aeroangkasa negeri sekali gus menjadi hab utama perindustrian di Asia Tenggara.

Pengunjung mencuba simulator pesawat Hawk milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada Pameran Penerbangan Selangor 2023 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Shah Alam pada 9 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Sementara itu, SAS yang mula dianjur sejak 2021 menjadi landasan Kerajaan Negeri menggalakkan pertumbuhan sektor aeroangkasa dan membantu syarikat tempatan serta usahawan kecil dan sederhana meneroka bidang itu.

Terbaharu, Kerajaan Selangor menawarkan program latihan penyelenggaraan dan baik pulih enjin pesawat khusus untuk rakyat negeri ini bermula Oktober depan, bersekali bayaran elaun.

Dikendalikan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan GE Engine Services Malaysia Sdn Bhd (GE Malaysia), program perintis selama 12 bulan itu boleh dimohon sehingga 31 Ogos.

Gambar Hiasan: Aeroangkasa. Sumber Foto: BERNAMA

Selain menerima sokongan mentor daripada pakar berkaitan, peserta juga akan didedahkan kepada industri aeroangkasa dan menjalani latihan industri serta peluang kerjaya bersama GE Malaysia.

Orang ramai yang berminat boleh hubungi talian 016-909 6110 atau 017-388 1401.


Pengarang :