BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Prestasi badminton cemerlang, mencari formula capai gemilang

Oleh ABDUL RAHIM SABRI

Kejayaan skuad badminton membawa pulang dua gangsa dalam Olimpik di Paris mengatasi pencapaian temasya sama di Tokyo meski gagal meraih emas.

Acara sukan tersebut yang kerap kali membawa pulang pingat dalam temasya itu antara sandaran negara untuk membawa pulang emas sulung selain acara berbasikal.

Beregu Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang berada kedudukan keempat dunia mempertahan gangsa dengan menewaskan pasangan nombor dua dunia dari Denmark Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen.

Pasangan berkenaan satu-satunya beregu negara yang menang pingat Olimpik lebih sekali, bahkan berturut-turut. Selepas gandingan Razif-Jalani Sidek menang gangsa, pingat sulung negara dalam temasya itu, dua lagi beregu iaitu Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock dan Goh Wee Sherm-Tan Wee Kiong meraih perak pada 1996 dan 2016.

Pemain perseorangan Lee Zii Jia pula mengetepi saingan pemain India Lakshya Sen dalam penentuan gangsa. Kemenangan itu mengulangi pencapaian Rashid Sidek di Atlanta pada 1996 tetapi gagal menyamai kehebatan Lee Chong Wei yang meraih tiga perak pada 2008, 2012 dan 2016.

Pertama kali beraksi di Olimpik, gandingan Pearly Tan-M Thinaah pula mencipta sejarah sebagai beregu wanita pertama ke separuh akhir. Mereka yang dalam kedudukan ke-12 mengejutkan beregu keenam dunia dari Jepun Wakana Nagahara-Mayu Matsumoto dan kedudukan kesembilan dunia dari Indonesia Apriyani Rahayu Siti Fadia Silva Ramadhanti pada peringkat kumpulan.

Sayangnya, mereka tumpas kepada pasangan Jepun Nami Matsuyama-Chiharu Shida dalam penentuan gangsa selepas memberi saingan sengit.

Pemain perseorangan wanita Goh Jin Wei pula tersekat peringkat kumpulan manakala beregu campuran Cheng Tang Jie – Toh Ee Wei sekadar ke suku akhir. Pencapaian terbaik beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying di Rio, Brazil 2016 yang menyaksikan Malaysia meraih perak.

Rata-rata peminat sukan tanah air menaruh harapan tinggi untuk membawa pulang emas menerusi badminton tetapi kebanyakannya reda selepas menyaksikan semangat juang pemain.

Semangat juang

Penganalisis sukan Datuk Dr Pekan Ramli (gambar) pula menyifatkan skuad negara belum cukup lengkap dari segi kekuatan dan kemahiran yang diperlukan untuk memenangi emas meski mereka bersemangat tinggi.

“Semangat juang ada untuk menjadi juara tetapi kita belum cukup bagus berbanding lawan. Kita tidak cukup hebat. Orang cakap kita tidak bernasib baik.

“Ada perkara-perkara yang masih belum kita capai. Untuk menjadi juara, kita mesti banyak berlawan, ada kemahiran, perwatakan sebagai juara dan strategi.

“Hakikatnya, orang lain lebih baik daripada kita. Kita kena kaji kekuatan kita. Kalau kita hendak menang emas Olimpik, kita tidak boleh mengulangi kesilapan sama,” katanya.

Beliau percaya pingat emas tidak jauh dari jangkauan Zii Jia pada masa depan jika pemain itu mengekal corak permainan set kedua yang ditunjukkannya dalam aksi penentuan gangsa.

Dr Pekan mengakui risau menyaksikan Zii Jia tewas mudah dalam set pertama, mengulangi aksi longlai ketika kecundang kepada pemain Thailand Kunlavut Vitidsarn pada peringkat separuh akhir.

“Tiba-tiba macam ada suntikan adrenalin hingga mendapat semangat baharu, corak permainan tiba-tiba bertukar menyerang hingga pemain India panik dan hilang sentuhan.

“Inilah Zii Jia yang kita kenali. Apabila dia dapat sentuhannya, maka dia tidak menoleh ke belakang. Kalau ini corak permainan dan semangat dibawakannya pada peringkat separuh akhir tempoh hari, mungkin emas atau perak jadi milik Malaysia,” katanya.

Meski Malaysia dianggap antara kuasa dunia badminton bersama Indonesia dan China dalam tempoh panjang, acara berkenaan hanya dipertanding dalam Olimpik mulai 1992.

 


Pengarang :