AGENDAJENAYAH

Pemain bola sepak bawa kerambit ke padang ditahan

KUALA LUMPUR, 9 OGOS: Pemain bola sepak amatur yang membawa senjata tajam ke padang ketika berlaku perselisihan faham dalam perlawanan bola sepak Ahad lalu, ditahan polis di sebuah rumah di Klang dekat sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju ACP Mohamad Lazim Ismail berkata lelaki berusia 22 tahun itu ditahan 6.30 petang oleh anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah berkenaan.

Beliau berkata turut ditahan teman wanita suspek yang merupakan warganegara asing berusia 21 tahun.

“Berdasarkan siasatan awal, lelaki itu mengaku mengeluarkan senjata tajam berupa kerambit bagi mempertahankan diri ketika kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lelaki itu direman hingga Isnin ini bagi siasatan mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 manakala wanita itu di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen perjalanan sah.

Isnin lalu, Mohamad Lazim memaklumkan pihaknya sedang mengesan seorang lelaki kerana mengeluarkan senjata tajam dipercayai kerambit ketika berlaku perselisihan faham ketika perlawanan bola sepak di Pusat Bola Sepak KLFA di sini.

Terdapat juga gambar menunjukkan lelaki itu memegang senjata di kedua-dua tangannya yang tular menerusi media sosial.

– BERNAMA


Pengarang :