Penerjun negara Bertrand Rhodict Lises beraksi dalam acara 10 meter platform individu lelaki pada Sukan Olimpik Paris 2024 di Centre Aquatique pada 9 Ogos 2024. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Paris 2024: Penerjun negara terkandas di pusingan awal

Oleh Vikneswaran Raman

PARIS, 9 OGOS: Penerjun negara Bertrand Rhodict Lises menamatkan penampilan sulungnya di Sukan Olimpik Paris 2024 dengan cara yang mengecewakan hari ini.

Atlet berusia 19 tahun itu menamatkan pusingan awal acara 10 meter (m) platform individu lelaki di tempat ke-25 dalam kalangan 26 peserta dengan 313.70 mata keseluruhan di Pusat Akuatik Olimpik.

Ini bermakna kempen Olimpiknya berakhir lebih awal kerana hanya 18 penerjun terbaik selepas enam terjunan mara ke separuh akhir yang dijadualkan esok.

Bertrand yang merupakan pembawa bendera negara dalam upacara pembukaan Sukan Olimpik Paris pada 26 Julai lalu bersama pelayar Nur Shazrin Mohd Latif masih jauh daripada mencabar penerjun terbaik dunia.

Pada pusingan hari ini, Bertrand bermula agak baik dengan melakukan 66.00 dan 60.80 mata dalam dua terjunan pertama untuk berada di landasan melayakkan diri ke pusingan seterusnya.

Bagaimanapun, prestasinya semakin merosot apabila dia hanya mampu mendapat 49.50, 34.00 dan 37.80 mata dalam tiga terjunan seterusnya untuk tergelincir daripada kedudukan 18 teratas dan kebangkitan lewat dengan 65.60 mata pada terjunan terakhir tidak membawa sebarang perbezaan kepada kedudukan.

Cao Yuan dari China mempamerkan penguasaan dalam percubaan mempertahankan pingat emasnya, mengungguli pusingan awal dengan 500.15 mata, diikuti Rikuto Tamai dari Jepun (497.15) dan Rylan Wiens dari Kanada (485.25) untuk melengkapkan tiga teratas.

– BERNAMA


Pengarang :