Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz melawat reruai selepas merasmikan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 25 Julai 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Ekspo taman industri bantu sidang niaga antarabangsa jana pendapatan lebihi sasaran

SHAH ALAM, 9 OGOS: Penganjuran khusus Ekspo Taman Perindustrian Selangor (SPARK) membolehkan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) menjana transaksi nilai tinggi.

EXCO pelaburan berkata strategi julung kali dilakukan Invest Selangor itu juga turut menarik lebih banyak syarikat membuat pelaburan ke dalam negara terutama di negeri ini.

“Penganjuran SIBS secara dua sesi memberi kejayaan luar biasa. Untuk tahun depan, Invest Selangor akan menilai kedua-dua siri sebelum membuat penambahbaikan.

“Kita jamin perubahan ini akan memberi nilai tambah sekali gus mampu menaikkan lagi potensi transaksi terutama untuk segmen SPARK, makanan dan minuman,” kata Ng Sze Han kepada SelangorKini.

Tahun ini buat julung kali Kerajaan Negeri menerusi Invest Selangor menganjurkan SIBS secara dua siri dengan pertama berlangsung dari 25 hingga 27 Julai manakala yang kedua dari 16 hingga 19 Oktober ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bersama EXCO Pelaburan, Ng Sze Han (tiga, kanan) bergambar bersama selepas menyaksikan penukaran perjanjian persefahaman (MoU) di antara UMW Development Sdn Bhd dan Xinbo New Materials Sdn Bhd ketika Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 26 Julai 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Siri pertama melibatkan SPARK dan Persidangan Perniagaan Asean Selangor (SABC) menjana nilai transaksi RM12.2 bilion, hampir dua kali ganda daripada sasaran keseluruhan RM7 bilion.

Manakala siri kedua menyasarkan transaksi hampir RM1 bilion merangkumi segmen Ekspo Antarabangsa Selangor (Makanan dan Minuman), Ekspo Antarabangsa Selangor (Perubatan) serta Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor.

Berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, sidang siri pertama menyaksikan penyerahan 23 surat setuju terima (LOA), surat hasrat (LOI), memorandum perjanjian (MoA) dan memorandum persefahaman (MoU).

Sidang bertaraf antarabangsa itu menarik kehadiran 8,500 pelawat selain turut disertai negara jiran Asean, Australia, Kanada, China, Perancis, Jerman, Jepun, dan United Kingdom.


Pengarang :