Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) menandatangan plak perasmian pada Majlis perasmian Sambutan Hari Air Sedunia 2024 peringkat Selangor di Tasik Pandan Perdana, Ampang pada 10 OGOS 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Dasar Pelepasan Sifar perkukuh kualiti pengurusan sumber air negeri

AMPANG JAYA, 10 OGOS: Dasar Pelepasan Sifar (ZDP) yang diwarta pentadbiran negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) pada 20 Jun terus memperkukuh kualiti pengurusan sumber air negeri.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ZDP menggalakkan pengusaha, operator kilang serta premis terutama peringkat industri supaya tidak mengeluarkan efluen dan melaksanakan usaha pengurusan sisa.

Katanya, 13 aktiviti di persekitaran sumber air dan lembangan sungai ditetapkan dalam ZDP termasuk akuakultur air tawar, air payau dan air masin, pembangunan atau kerja tanah, perladangan unggas dan penternakan ruminan.

Selain itu haiwan peliharaan, pencucian bahan batuan, perlombongan pasir biasa, rumah sembelihan, perindustrian, aktiviti rekreasi, sistem pengolahan kumbahan, perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan perkhidmatan bekalan air.

“Ia adalah aktiviti yang memang mengeluarkan efluen menyebabkan kesan kepada kualiti air sama gangguan pencemaran, keladak atau kekeruhan yang memberi kesan kepada muka sauk dan juga loji rawatan air kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Sambutan Hari Air Sedunia 2024 Peringkat Selangor di Tasik Pandan Perdana, hari ini.

Jelas beliau, tahun pertama selepas pewartaan, pelaksanaan dasar itu menjurus kepada pendedahan dan pendidikan kepada pihak berkepentingan mengenai usaha meminima kuantiti pelepasan efluen masing-masing.

“Setahun ini untuk ZDP kita beri ruang penerangan dan mendidik. Selepas itu kita ambil tindakan lebih keras dengan mengenakan caj tertentu bergantung kepada jenis pelepasan dan aktiviti,”katanya.

ZDP menjurus kepada usaha memupuk kesedaran pihak berkepentingan dan industri mengenai tanggungjawab serta penglibatan mereka di dalam pemeliharaan dan pemuliharaan sumber air yang mana aktiviti mereka boleh memberi impak dan risiko kepada sumber air dan persekitarannya.

Sebelum ini, Pengarah LUAS Hasrolnizam Shaari berkata peraturan baharu itu mampu mengatasi isu enap cemar dan penurunan kualiti sumber air dengan menekankan kawalan pelepasan air kembalian ke dalam sungai mengikut tatacara operasi piawaian (SOP).


Pengarang :