Pemain sayap Selangor FC Faisal Halim muncul pada sesi panas badan selepas insiden simbah asid pada perlawanan aksi separuh akhir kedua Piala FA Selangor FC menentang Terengganu FC di Stadium Bandaraya Petaling Jaya pada 3 Ogos 2024. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Faisal sekali lagi disenarai lawan Kelantan di Liga Super

SHAH ALAM, 10 OGOS: Selepas mucul pada perlawanan separuh akhir Piala FA 2024 menentang Terengganu FC minggu lalu, Faisal Halim sekali lagi disenarai sebagai pemain Selangor FC menentang Kelantan Darul Naim FC pada perlawanan Liga Super petang ini.

Berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, pengendali pasukan Gergasi Merah berkata beliau bangga dengan komitmen tonggak utama skuad Harimau Malaya itu yang konsisten berlatih bagi membantu finalis perlawanan itu, lapor Sinar Harian.

“Biarpun begitu esok (hari ini), sama ada Mickey diturunkan atau sebaliknya bergantung juga kepada prestasi pemain-pemain lain.

“Kita juga akan melihat kepada perlawanan tersebut berlangsung sekiranya terdapat kesesuaian atau keperluan, sudah tentu Mickey akan dimasukkan pada separuh masa kedua,” kata Nidzam Jamil.

Tambah beliau, Selangor FC gembira apabila Faisal dapat kembali bersama ketika berdepan Terengganu selepas tiga bulan tidak bersama apabila menjadi mangsa simbahan asid pada Mei lalu.

Sabtu lalu, Pemain sayap Gergasi Merah yang masih dalam proses pemulihan membuat kemunculan dalam sesi pemanas badan pasukan itu pada aksi separuh akhir kedua Piala FA 2024/2025.

Sejurus memasuki padang bersama pasukan, pemain berusia 26 tahun itu bersujud di tepi padang sambil menerima sorakan dan tepukan gemuruh ribuan penonton yang membanjiri Stadium MBPJ.

Faisal yang lebih mesra disapa Mickey turut kelihatan memakai topeng muka berwarna hitam dipercayai bagi melindungi bekas luka simbahan asid yang dalam proses untuk sembuh.


Pengarang :