Foto Facebook Selangor FC
AGENDASUKANKINI

Faisal Halim kembali beraksi, Selangor atasi Kelantan 2-0

SHAH ALAM, 10 OGOS: Pasukan Selangor FC (SFC) menewaskan Kelantan Darul Naim (KDN) 2-0 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya petang tadi.

Perlawanan itu turut menyaksikan penampilan pertama Faisal Halim sejak insiden disimbah asid pada 5 Mei lalu. Faisal yang memakai topeng khas masuk menggantikan Reziq Banihani pada minit ke-85.

Pemain itu hampir mencetus impak segera apabila tandukannya pada minit ke-87 terkena palang ketika SFC sudahpun mendahului dua gol, lapor portal Berita Harian.

Aksi Faisal Halim ketika melawan Kelantan Darul Naim (KDN) 2-0 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 10 Ogos 2024. Foto Facebook Selangor FC

Terdahulu, Selangor terpaksa menunggu sehingga minit ke-65 untuk memecah kebuntuan menerusi penyudah Ronnie Fernandez yang menyambut tandukan Reziq.

SFC melebarkan jurang menerusi sepakan penalti disempurnakan Fernandez selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati pemain itu dikasari pemain KDN pada minit ke-81.

Kemenangan 2-0 itu membolehkan skuad bimbingan Nidzam Jamil terus menghambat pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang ketika ini mengutip 22 mata.

Dengan tambahan tiga mata hasil kemenangan ke atas pasukan tercorot liga itu, skuad ‘The Red Giants’ hanya ketinggalan enam mata di belakang skuad Harimau Selatan selepas lapan perlawanan berlangsung setakat ini.

 


Pengarang :