Reaksi pelumba basikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang selepas tidak layak bertanding acara keirin pada Sukan Olimpik Paris 2024 di Saint-Quentin-en-Yvelines National Velodrome pada 10 Ogos 2024. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Sukan Olimpik: Azizulhasni dibatal penyertaan acara keirin

Daripada Vikneswaran Raman

PARIS, 10 OGOS: Impian negara merangkul emas pertama daripada Sukan Olimpik Paris 2024 lebur apabila jaguh berbasikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang tersingkir seawal saringan pertama acara keirin lelaki di Veldrom Saint-Quentin-en-Yvelines di sini hari ini.

Penyertaan pelumba berusia 36 tahun itu dibatalkan semasa saringan satu pusingan pertama selepas didapati memotong derny (basikal elektrik bertindak sebagai pacer) sebelum derny meninggalkan trek sekali gus perlumbaan dimulakan semula tanpa penyertaan Azizulhasni.

Penyandang pingat perak itu sepatutnya bersaing dengan lima pelumba lain iaitu Matthew Glaetzer dari Australia, Rayan Helal (Perancis), Kaiya Ota (Jepun),Jeffrey Hoogland (Belanda) dan pelumba Suriname, Jair Tjon En Fa.

Saringan satu itu dimenangi Glaetzer sementara kedua menjadi Hoogland.

Dua pelumba tertas pada setiap saringan akan melayakkan diri ke pusingan suku akhir yang dijadual berlangsung esok.

— BERNAMA

 

 


Pengarang :