Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sempena majlis perasmian Panorama Bukit Antarabangsa dan Makan Malam Penutup Sukan JKP MPAJ 2024 di Panorama, Bukit Antarabangsa, Ampang pada 10 Ogos 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: RS-1 lahir hasil kefahaman negeri selesai isu rakyat

AMPANG, 11 OGOS: Rancangan Selangor Pertama (RS-1) merupakan hasil usaha Kerajaan Negeri untuk memahami dengan jelas semua masalah utama rakyat sekali gus mencari jalan penyelesaian.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif tersebut sudah dilaksana sejak hari pertama beliau memimpin Selangor namun mula dikembang bersama semua pimpinan negeri menerusi RS-1.

“Sesuatu perkara itu boleh ditangani dan dikuasai sepenuhnya jika kita dapat faham dengan jelas tentang masalah tersebut. Kalau kita faham, kita akan selesaikan isu utama selain hanya tangani simptom dan kesan.

“Apabila kita ingin bangunkan peluang ekonomi, ia bukan sekadar dirancang dalam peta atau mesyuarat. Sebaliknya perlu difahami secara terperinci isu lokal. Daripada situlah lahirnya RS-1,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Panorama di Bukit Antarabangsa di sini, malam tadi. Hadir sama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Dr Ani Ahmad.

RS-1 diperkenal pentadbiran negeri bagi memenuhi keperluan jangka pendek dan membina daya tahan yang kukuh pada masa depan.

Pertama kali dibentang pada Julai 2022, pelan pembangunan lima tahun itu meliputi empat teras ke arah pencapaian aspirasi Negeri Pintar, Berdaya Huni dan Makmur menjelang 2025.

Sementara itu, Amirudin yakin Panorama yang menjanjikan pemandangan indah Kuala Lumpur bakal menjadi tarikan utama pelancong sempena Tahun Melawat Selangor 2025.

Menurutnya, lokasi tersebut juga antara bukti kepimpinan negeri di setiap peringkat sentiasa peka terhadap perkembangan dan keperluan semasa masyarakat.

“Tempat ini bermula dengan tanah runtuh. Kemudian kita bangunkan semula kerana melihat potensinya. Sekarang ia jadi tempat tarikan untuk melihat pemandangan cantik Kuala Lumpur,” katanya.


Pengarang :