BUDAYARENCANA

Gadis Kuala

Oleh Nina Ruzaini

Hari ini aku ke kuala bertemu A. Tubuhku tak pernah kering. Basah dan dingin. Setiap kali bertemu, A membiarkan jemariku menyentuh wajahnya, berderang seisi rahim pulau yang kelam. Rembulan senantiasa bernyala di remang kulitnya. Redup dan hangat.

A tidak bersuara. Matanya cermin. Aku melihat, jelas di matanya dia juga menangis untuk luka-luka berulang. Hakikatnya, kita begitu. Bisikku di telinganya.

Sempena hari lahirnya hari ini, A tidak ingin lilin dinyalakan atau nyanyian lagu panjang umur yang sunyi. A ingin ke sebuah galeri melihat lukisan-lukisan.

Aku menolak. Galeri adalah sebuah tempat yang sunyi. Hari ini, apa kata kita ke pustaka? Aku mengajak.
A kecewa. Aku tak pandai menikmati bahasa. Jelasnya. Tak mengapa, kita akan melihat sebuah lukisan di sana. Balasku.

Di pustaka, kami duduk di meja. Tidak ada buku yang kami baca. Kami berdua memandang ke hadapan melihat gerak geri orang dengan buku-buku di tangan. A memandangku sejenak sebelum menggerakkan lensa matanya ke seluruh ruang pustaka.

Mana lukisan? Aku hanya nampak buku-buku. A menyoal.

Tengok sana. Aku mengajak A melorotkan pandangan ke arah lorong rak buku di hadapan kami.

Di situ, di bawah kerdipan cahaya lampu pustaka, kelihatan sepasang kekasih sedang membaca diri masing-masing. Bahasa tubuh mereka berbicara jelas daripada kata-kata.

Jenaka, ketawa dan tumpuan mereka menjalar daripada mata, bibir, bahu, jari jemari yang bergerak membentuk sebuah luahan yang hanya mereka memahaminya.

Mereka tenggelam menjadi sebuah objek penglihatan, sebagai sebuah pemandangan. Mengubah kami menjadi penonton.

Aku dan A hanya berdiam dan memerhati, seperti mana melihat sebuah lukisan.

A menyukainya, aku tahu.

Kami melihat si jejaka menghulurkan sebuah buku kepada si gadis. Buku disambut. Si gadis memberi senyuman. Api kecil mula menyala dari hujung jari mereka.

Adakah mereka sedang terbakar? Tanya A.

Ya, mereka sedang membakar diri masing-masing. Balasku.

Mereka menyelak setiap helaian mukasurat dengan cermat. Pandangan mata mereka tidak jatuh pada setiap halaman mukasurat yang diselak. Hanya hujung jari yang bergerak menyelak helaian demi helaian.

Helaian demi helaian terbakar.

Ketawa-ketawa kecil si gadis serta liuk lenggok tubuhnya memercikkan lagi jangkauan api menyentuh si jejaka. Dadanya marak terbakar.

Api mula menanggalkan pakaian mereka. Aku dan A kini melihat sepasang kekasih itu dengan pandangan berbeza, lebih intim dan peribadi tidak lagi berlapis-lapis.

Tubuh mereka semakin mendekat. Kepala si gadis di atas bahu si jejaka. Mereka menggenggam erat jari masing-masing. Api menjalar, perlahan-lahan memeluk tubuh mereka menjadi sebuah unggun yang hangat.

A kelihatan gelisah. Adakah api mereka akan membakar kita? Tanya A.
Kugenggam tangannya kemudian membalas, ini belum cukup untuk membakar sebuah pulau.
Api merah.

Si jejaka menyedari gerak-geri mereka sedang diperhati. Dia mengambil sebuah buku di rak kemudian memberikan kepada si gadis. Meminta si gadis menutupi berahi di tubuhnya apabila menyedari perasaan malu si gadis menjadi semacam satu paparan untuk kami.

Adakah cinta sebuah keaiban apabila ditonton? Soal A.

Bukan begitu A, lihat buku di tangan si gadis. Ia sudahpun menjadi abu.

Bibir si gadis membiru.

A sekali lagi kelihatan gelisah. Aku sekali lagi menggenggam erat tangannya.

Jangan risau, cumbuan si jejaka akan mengembalikan merah api di bibirnya.

A memandangku. Aku memandang A.

Dinding pustaka semakin goyah dijilat api. Sebelum pustaka terbakar sepenuhnya, aku segera menarik A berlari keluar dari situ.

Kami berlari sekuat hati.

Ke mana kita akan pergi? Tanya A.

Kita akan berlari ke mana asal kita datang. Balas aku.

Ke kuala? Tanya A

Ya, aku membawa A berlari menyelusuri pantai.

Di tebing kuala. Dalam kegelapan malam, A menyala lebih terang daripada api pustaka. Lebih terang daripada bintang-bintang.

A, api di wajahmu tidak akan padam. Kataku sambil mengoles pipinya. Terima kasih temani saya melihat sebuah lukisan. Balas A.

Aku berjalan menuju pantai. A berdiri di tebing menunggu.

Seusai laut menyentuh tubuhku, pakaian terlerai satu per satu. Sebogel tubuh bersatu dengan laut. Sebelum tubuhku menjadi kesayuan bumi, jemari bercerai dan bercantum menjadi ombak;
Selamat hari lahir A. Izinkan warna api sentiasa bernyala di bibirmu.

A tersenyum, dan aku hilang dalam kelam malam.

 


Pengarang :