Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada Majlis Penyerahan Sumbangan Parlimen Gombak dan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) Parlimen Gombak di Pejabat Parlimen Gombak, Taman Samudera, Batu Caves pada 11 OGOS 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR
BERITA UTAMASELANGOR

Selangor tekad perkasa ekonomi, bantu penduduk nikmati hidup selesa

GOMBAK, 11 OGOS: Kerajaan Selangor bertekad memulih dan memperkasakan ekonomi bagi membantu penduduk menikmati kehidupan lebih baik pada masa depan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha menerusi Kerajaan Perpaduan bertujuan merapatkan jurang ekonomi di antara golongan berpendapatan tinggi dan rendah.

“Pelbagai bantuan diberikan dan ini merupakan usaha berterusan Kerajaan Madani sama ada negeri atau persekutuan dalam membantu memperkasakan rakyat.

“Kita bukan hanya mengambil jalan ‘shortcut’ dengan menyerahkan sumbangan tetapi tidak menyelesaikan isu pokok. Isu utama yang saya lihat di sini bagaimana selesaikan masalah ekonomi dan ini yang cuba diperbetulkan.

“Contohnya suatu masa dahulu kita berdepan dengan isu barangan tetapi kini alhamdulillah daripada keperluan harian sehingga makanan semuanya hampir selesai biarpun ada harga agak tinggi berikutan kedudukan ringgit,” katanya pada majlis penyerahan sumbangan Parlimen Gombak di sini, hari ini.

Amirudin yang juga ahli parlimen Gombak memaklumkan beliau kini menumpukan aduan dan merencana program pemerkasaan ekonomi serta infrastruktur yang tersusun secara berterusan.

“Esok merupakan setahun Kerajaan Perpaduan ditubuhkan di Selangor dan kita telah laksana apa yang telah dijanjikan biarpun ramai dahulu yang gelakkan seperti mahu jadi negeri berpendapatan tinggi tetapi kini telah disebut Bank Dunia.

“Bagaimanapun, saya akui ada sedikit jurang antara yang berpendapatan tinggi dan rendah… ini yang sedang kita tangani dan sentuh dalam Belanjawan 2025 yang dibentang pada November atau Disember nanti,” ujarnya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bersama penerima bantuan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) untuk peniaga kecil mikro pada Majlis Penyerahan Sumbangan Parlimen Gombak dan MITRA Parlimen Gombak di Pejabat Parlimen Gombak, Taman Samudera, Batu Caves pada 11 OGOS 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

Terdahulu, Amirudin menyerahkan sumbangan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) Parlimen Gombak kepada 22 peniaga kecil mikro serta komputer riba kepada Sekolah Kebangsaan Tamil Batu Caves dan Taman Melawati.

Beliau turut menyampaikan sumbangan kepada penduduk kurang berkemampuan di Parlimen Gombak, menyerahkan cermin mata dan watikah sahabat Parlimen Gombak kepada enam individu.

Sebelum itu, Amirudin menunaikan solat Subuh di Masjid Kampung Nakhoda Batu Caves dan bersarapan pagi bersama jemaah serta menziarahi aktivis parti di Selayang Baru.

M Mageswary

Beliau kemudian hadir menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran Medan Selera AU5, Hulu Kelang di Dewan Serbanguna MPAJ AU5.

Sementara itu, suri rumah, M Mageswary, 34, berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana memberikan bantuan yang disifatkan bertepatan dengan waktunya.

“Suami baru berhenti kerja minggu lalu dan memerlukan wang kerana perlu menyara empat anak yang masih bersekolah. Selain dapat bantuan ini, kebetulan semalam dimaklumkan lesen perniagaan diluluskan.

“Saya dan suami sangat gembira dan bercadang untuk gunakan duit beli keperluan harian dan memulakan perniagaan menjual vadai dan panipuri,” katanya.


Pengarang :