AGENDASUKANKINI

ISN sedia perkhidmatan sokongan kepada Azizulhasni

KUALA LUMPUR, 11 OGOS: Institut Sukan Negara (ISN) akan menyediakan perkhidmatan sokongan kepada jaguh berbasikal negara Datuk Azizulhasni Awang yang berdepan situasi sukar selepas penyertaannya dalam acara keirin lelaki temasya Sukan Olimpik Paris 2024 dibatalkan semalam.

Ketua Kontinjen Malaysia ke Paris 2024 Datuk Hamidin Mohd Amin berkata setelah rayuan dikemukakan pihaknya berhubung pembatalan itu ditolak, kontinjen Malaysia berterusan memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada The Pocket Rocketman.

“Ketua Komisar dan wakil badan induk dunia UCI mengekalkan keputusan membatalkan penyertaan Mohd Azizulhasni akibat memintas derny atau motosikal yang menentukan rentak di hadapan kelompok pelumba sebelum motosikal keluar dari gelanggang perlumbaan.

“Kontinjen Malaysia dengan berat hati menerima keputusan ini dan akan memberi sokongan moral tidak berbelah bahagi kepada beliau,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook Majlis Sukan Negara (MSN).

Mohd Azizulhasni yang menggalas impian negara untuk merangkul pingat emas pertama di Sukan Olimpik tersingkir awal selepas penyertaannya dibatalkan pada perlumbaan saringan pertama acara keirin lelaki di Velodrom Saint-Quentin-en-Yvelines di Paris semalam.

Pelumba berusia 36 tahun itu dikesan memintas derny sebelum garisan penamat, dan perlumbaan dimulakan semula tanpa penyertaan Mohd Azizulhasni.

Penyandang pingat perak itu sepatutnya bersaing dengan lima pelumba lain iaitu Matthew Glaetzer dari Australia, Rayan Helal (Perancis), Kaiya Ota (Jepun), Jeffrey Hoogland (Belanda) dan pelumba Suriname, Jair Tjon En Fa.

Saringan satu itu dimenangi Glaetzer sementara kedua menjadi milik Hoogland.

– BERNAMA


Pengarang :