Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama penerima bantuan ketika majlis serahan bantuan bencana kepada peniaga di Dewan MPAJ AU5 pada 11 Ogos 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Medan selera terbakar, MB derma gaji bantu 12 peniaga terkesan

AMPANG JAYA, 11 OGOS: Dato’ Menteri Besar menggunakan gajinya sebagai ahli parlimen Gombak untuk membantu 12 peniaga medan selera Jalan AU5 Taman Lembah Keramat, yang terkesan akibat kebakaran dua minggu lepas.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata beliau menderma RM8,000 kepada setiap peniaga manakala RM2,000 lagi peruntukan melalui pusat khidmat masyarakat Gombak, menjadikan jumlah keseluruhan bantuan RM10,000.

Ditemui pemberita selepas menghulurkan sumbangan di Dewan Serbanguna MPAJ AU5 hari ini, beliau berharap pemberian itu dapat meringankan beban untuk menggantikan peralatan yang musnah.

“Kita amat prihatin dengan nasib yang menimpa peniaga yang mencari rezeki di medan selera itu sejak berpuluh tahun lalu.

“Mereka juga menerima bantuan RM3,000 daripada MPAJ dalam bentuk khemah dan pembersihan tapak,” katanya. Turut hadir Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang Juwairiya Zulkifli dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Dr Ani Ahmad.

Ketika pilihan raya umum pada November 2022, Amirudin memaklumkan tidak akan mengambil gaji sebagai ahli parlimen jika beliau kekal wakil rakyat Sungai Tua dan memegang jawatan dalam pentadbiran negeri.

Gaji ahli parlimen tersebut akan diderma kepada Dana Komuniti Gombak bagi membantu masyarakat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis serahan bantuan bencana kepada peniaga di Dewan MPAJ AU5 pada 11 Ogos 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Dalam pada itu, Amirudin turut memaklumkan sebuah gerai bazar baharu menggantikan medan selera itu akan dibina dengan kos dianggarkan bernilai RM3.5 juta.

“Perkara ini kita sedang usahakan dan akan bawa kepada Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan dan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli bagi membina semula medan selera ini.

“Ilustrasi telah ada dan kini saya sedang tunggu kertas cadangan pelaksanaannya. Pembinaan mungkin ambil masa paling awal setahun atau maksimum dua tahun.

“Buat masa ini, peniaga dibenarkan berniaga di tapak sementara di hadapan medan selera ini yang sedang dibersihkan MPAJ, mereka boleh memulakan perniagaan seawal minggu depan,” katanya.

Dalam pada itu, peniaga Rosslinda Ibrahim,60, berkata beliau bersyukur dan berterima kasih atas keprihatinan semua pihak termasuk Dato’ Menteri Besar yang memberi sumbangan sekaligus meringankan beban.

“Saya berniaga hampir 32 tahun dan medan selera ini menjadi sumber pendapatan dalam membesarkan anak-anak. Perasaan amat sedih kerana semuanya hangus terbakar, tidak ada satu pun dapat diselamatkan.

“Untuk sementara waktu, saya mengambil tempahan dengan berniaga daripada rumah dan buat penghantaran. Dengan adanya sumbangan ini, dapat gunakan untuk beli keperluan berniaga,” katanya.

 


Pengarang :