Atlet berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom ketika beraksi peringkat suku akhir acara keirin Sukan Olimpik Paris di Velodrom Saint-Quentin-en-Yvelines pada 11 Ogos 2024. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Sukan Olimpik: Shah Firdaus mara separuh akhir keirin

PARIS, 11 OGOS: Atlet berbasikal trek negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom, yang menjadi harapan terakhir Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024, berjaya meneruskan kemaraan ke separuh akhir acara keirin lelaki, hari ini.

Pelumba berusia 28 tahun berasal dari Muar itu meraih kedudukan ketiga dengan 0.051 saat (s) ketinggalan di belakang Jack Carlin dari Great Britain yang mengungguli saringan pertama suku akhir di Saint-Quentin-en-Yvelines National Velodrome di sini.

Turut mara Matthew Glaetzer (+0.006s) dari Australia di kedudukan kedua dan pelumba pelumba Kaiya Ota yang berada di tempat keempat.

Dengan hanya empat pelumba terbaik setiap saringan layak ke separuh akhir, pelumba Israel Mikhail Yakovlev (+0.215s) dan James Hedgcock dari Kanada (+0.310s) tersingkir.

Pusingan separuh akhir dijadualkan pada 12.29 tengah hari (6.29 petang waktu Malaysia), diikuti final pada 1.32 tengah hari (7.32 malam di Malaysia).

— BERNAMA

 


Pengarang :