Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof bergambar Bersama peserta program larian kemerdekaan yang julung kali diadakan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sempena Hari Shah Alam Tanpa Kenderaan pada 11 Ogos 2024. Foto Facebook Mais
AGENSISELANGOR

Mais edar 2,000 Jalur Gemilang, semarak semangat patriotik

SHAH ALAM, 11 OGOS: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengedarkan 2,000 Jalur Gemilang mini di Dataran Kemerdekaan di sini, hari ini, bagi menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat.

Serahan bendera Malaysia itu disampaikan Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof pada program larian kemerdekaan yang julung kali diadakan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sempena Hari Shah Alam Tanpa Kenderaan.

Menurutnya, semua masyarakat perlu menghayati erti kemerdekaan dan menzahirkan rasa syukur menikmati kemakmuran negara yang dikecapi hari ini.

“Kemerdekaan adalah satu kejayaan yang telah dicapai oleh negara kita sepanjang 67 tahun. Kegemilangan dan semangat ini hendaklah dihayati agar semangat cintakan negara dan mengingati kejayaan pejuang kemerdekaan sentiasa disemarakkan.

“Semangat cintakan agama, bangsa dan negara hendaklah sentiasa terpahat di dada kita semua. Hayati semangat kemerdekaan dengan mempergiatkan pelbagai aktiviti dan program kemerdekaan dan bersama mengibarkan Jalur Gemilang,” katanya.

Turut hadir ke program berkenaan adalah Datuk Bandar MBSA Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim,Timbalan Pengerusi Mais Datuk Emran Kadir dan Setiausaha Mais Dr Ahmad Shahir Makhtar.

Terdahulu, program Larian Merdeka Mais merupakan salah satu program sempena Kempen Bulan Pembebasan Riqab MAIS 2024.

Selain larian, antara aktiviti menarik disediakan tazkirah bulan pembebasan asnaf riqab, acara kuiz cabutan bertuah, pertandingan pakaian beragam (keluarga) dan pertandingan basikal berhias.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof mengedarkan Jalur Gemilang mini bagi di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 11 Ogos 2024. Foto Facebook Mais

Pengarang :