Atlet berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom ketika peringkat suku akhir acara keirin Sukan Olimpik Paris di Velodrom Saint-Quentin-en-Yvelines pada 11 Ogos 2024. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Sukan Olimpik: Shah Firdaus mara peringkat akhir keirin

SHAH ALAM, 11 OGOS: Atlet berbasikal trek negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom layak peringkat akhir acara keirin Sukan Olimpik Paris 2024.

Shah Firdaus yang menduduki tempat keempat diumumkan layak ke peringkat akhir selepas pelumba tempat ketiga Ota Kaiya dari Jepun diturunkan kedudukan kerana melakukan kesalahan.

Pelumba Jepun itu didapati menjadi punca pelanggaran pada pusingan terakhir membabitkan pelumba Great Britain Hamish Turnbull dan Luca Spiegel dari Jerman yang dikategorikan gagal menamatkan perlumbaan.

Hanya tiga pelumba layak ke peringkat akhir bagi setiap saringan. Selain Shah Firdaus, pelumba Australia Matthew Richardson dan Harrie Lavreysen dari Belanda turut layak ke akhir.

Aksi akhir juga membabitkan tiga lagi pelumba yang layak daripada saringan pertama iaitu pelumba Great Britain Jack Carlin, Matthew Glaetzer (Australia) dan Shinji Nakano (Jepun).

 

 


Pengarang :