Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik Najwan Halimi (tengah) beramah mesra dengan pesara tentera dan polis pada majlis minum petang sempena sambutan Hari Pahlawan anjuran bersama pejabat Ahli Parlimen Shah Alam dan ADN Batu Tiga di Kelab Shah Alam, Seksyen 13, Shah Alam pada 10 Ogos 2024. Foto Facebook Najwan Halimi
ADNSELANGOR

Tiga wakil rakyat anjur majlis rai 250 pesara tentera, polis sempena Hari Pahlawan

SHAH ALAM, 12 OGOS: Tiga wakil rakyat bekerjasama menganjurkan majlis minum petang bagi meraikan 250 pesara tentera dan polis sempena sambutan Hari Pahlawan, kelmarin.

Inisiatif itu dilaksana Ahli Parlimen Shah Alam Azli Yusof, Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik Najwan Halimi dan ADN Batu Tiga Danial Al-Rashid Haron di Kelab Shah Alam, Seksyen 13, di sini.

Menurut Najwan, majlis bertujuan memberi penghormatan kepada wira negara yang tidak jemu mempertahankan keselamatan dan keamanan tanah air.

“Setiap detik perkhidmatan mereka adalah lambang keberanian dan kesetiaan yang tidak ternilai. Tanpa mereka, keamanan yang kita nikmati hari ini mungkin tidak akan tercapai.

“Majlis ini juga merupakan acara sulung kami meraikan perwira negara dan kami rancang untuk jadikan program sambutan hari pahlawan ini sebagai acara tahunan,” katanya.

Sambutan Hari Pahlawan adalah antara usaha dan keprihatinan kerajaan yang telah menetapkan satu hari khas bagi mengenang jasa perwira yang terkorban dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Ia disambut setiap 31 Julai sebagai memperingati perjuangan serta pengorbanan anggota keselamatan negara demi kemakmuran serta kedaulatan tanah air.


Pengarang :