Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Abdul Aziz Yusof menyerahkan cek cura sumbangan program pemulihan golongan asnaf riqab pada Pelancaran Kempen Bulan Pembebasan Riqab 2024 di Hotel KSL Esplanade pada 5 Ogos 2024.
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Mais peruntuk RM19.4 juta pulih, bimbing asnaf riqab

SHAH ALAM, 12 OGOS: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) memperuntukkan sejumlah RM19.48 juta untuk melaksanakan pelbagai program membabitkan golongan asnaf riqab tahun ini.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata perbelanjaan membabitkan aktiviti bantuan pemulihan, perlindungan, rawatan, pencegahan dan pelbagai bantuan lain supaya golongan terbabit kembali ke pangkal jalan.

“Peruntukan diberikan berdasarkan sumbangan geran pemulihan kepada Rumah Pemulihan Riqab, Program Kursus dan Latihan Asnaf Riqab, Perkhidmatan Guru Pembimbing Riqab serta Sumbangan Kebajikan Asnaf Riqab.

“Ia termasuk program pemulihan dan pendidikan yang dilaksanakan oleh tiga Rumah Pemulihan Majlis dan 26 Rumah Pemulihan Riqab di bawah Mais yang berperanan membantu pemulihan mereka yang mengalami masalah sosial dari pelbagai kategori,” katanya menerusi kenyataan.

Tambahnya, Mais telah menyantuni seramai 5,943 golongan asnaf riqab di Selangor melalui bimbingan dan bantuan kebajikan hingga June ini.

“Mais juga telah melantik seramai 184 orang Guru Pembimbing Al Riqab bagi membantu mereka kembali ke jalan yang benar dan diredhai,” ujarnya.

Beliau menjelaskan golongan asnaf riqab merupakan seseorang yang terbelenggu dengan masalah sosial dan aqidah antaranya seperti penagihan dadah, sumbang mahram, lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

“Selain itu, orang Islam yang terpesong agama serta lain-lain pecahan jenis asnaf Riqab sepertimana yang telah difatwakan pada tahun 2012,” katanya lagi.


Pengarang :