Rumah Pam Baru Taman Sri Muda, Shah Alam pada 11 OGOS 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Penduduk Sri Muda lega, pam skru mampu elak kejadian banjir berulang

SHAH ALAM, 12 OGOS: Penduduk sekitar Taman Sri Muda, dekat sini mampu menarik nafas lega selepas menerima tiga unit pam skru di kawasan berkenaan bagi mengatasi masalah banjir.

Wakil rakyat Kota Kemuning S Preakas berkata selama ini penduduk merasa gelisah sekiranya hujan lebat kerana bakal berdepan risiko air naik selain risau sekiranya peristiwa banjir besar Disember 2021 berulang.

“Pembinaan pam skru ini memberi kelegaan kepada penduduk. Mereka bersyukur pembinaan pam ini dilakukan pantas dan membolehkan ia digunakan segera.

ADN Kota Kemuning Preakas Sampunathan pada Rakaman Khas Rumah Pam Baru Taman Sri Muda di Rumah Pam, Taman Sri Muda, Shah Alam pada 11 OGOS 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

“Pam ini bukan hanya mampu mengepam air keluar tetapi juga boleh menyedut dan mengeluarkan sampah tersangkut. Ini dapat mengelakkan kejadian banjir,” katanya kepada pemberita.

Preakas berkata kejadian bah yang sering melanda juga dapat diatasi sepenuhnya apabila pelan mitigasi di DUN berkenaan siap menjelang 2029.

“Pelan ini dalam fasa pelaksanaan kertas kerja termasuk contoh pembinaan kolam takungan, kedalaman sungai ataupun longkang dan juga melihat secara teknikal aliran air ketika hujan. Projek ini melibatkan kos RM100 juta.

“Kita turut galakkan penduduk untuk jaga kebersihan. Ahli majlis juga diminta anjur aktiviti gotong-royong supaya sampah dapat diurus dengan baik dan air boleh mengalir,” katanya.

Naramjeet Singh , 62 pada Rakaman Khas Rumah Pam Baru Taman Sri Muda di Rumah Pam, Taman Sri Muda, Shah Alam pada 11 OGOS 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

Sementara itu penduduk Naramjeet Singh,62, berharap masalah banjir tidak berlaku lagi selepas ini sekali gus mampu mengelakkan keluarganya mengalami kerugian besar.

“Sejak tinggal dari 1987, rumah kerap dinaiki air. Selalu paras buku lali atau lutut dan paling teruk pada 1994 air paras dada manakala 2021 rumah tenggelam.

“Saya alami kerugian besar. Tiga kereta Mercedes dan Volvo rosak teruk. Semua perabot, barangan tak boleh guna. Saya harap pembinaan rumah skru ini dapat atasi banjir,” katanya.

Minggu lalu EXCO infrastruktur merasmikan tiga pam skru bernilai RM7.1 juta yang mampu mengepam keluar air lima ganda selain menyedut dan mengeluarkan sampah tanpa sangkut.

 

 


Pengarang :