Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Azman Abidin (tiga, kiri) dan Ahli Dewan Negeri Kajang David Cheong (tengah) pada majlis perasmian Kempen Kajang Bersih Kajang di Hatiku di Sekolah Menengah Kebangsaan Saujana Impian, Hulu Langat pada 12 Ogos 2024. Hadir sama Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
ADNSELANGOR

DUN Kajang anjur kempen pupuk kesedaran masyarakat jaga alam sekitar

HULU LANGAT, 12 OGOS: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang melancarkan Kempen Kajang Bersih, Kajang Di Hatiku bagi memupuk kesedaran menjaga alam sekitar dalam kalangan masyarakat.

Wakil rakyatnya David Cheong berkata untuk permulaan pihaknya akan menjelajah ke sekolah sekitar DUN berkenaan bagi membudayakan amalan kebersihan dalam kalangan murid.

Ahli Dewan Negeri Kajang David Cheong berucap dalam majlis pelancaran Kempen Kajang Bersih Kajang di Hatiku di Sekolah Menengah Kebangsaan Saujana Impian, Kajang pada 12 Ogos 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Kebersihan dan keselesaan adalah elemen penting yang harus kita jaga untuk memastikan Kajang terus berkembang sebagai tempat yang sejahtera dan indah untuk didiami.

“Kempen ini bukan sekadar usaha untuk membersihkan kawasan bandar, kampung atau taman perumahan tetapi juga menggalakkan inisiatif kitar semula yang dapat dijadikan sumber pendapatan,” katanya.

Beliau berucap pada majlis pelancaran kempen berkenaan yang disempurnakan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin di Sekolah Menengah Kebangsaan Saujana Impian di sini, hari ini.

Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Azman Abidin (lima, kiri) dan Ahli Dewan Negeri Kajang David Cheong (dua, kanan) melakukan gimik pelancaran maskot Dusky Leaf Monkey sempena majlis perasmian Kempen Kajang Bersih Kajang di Hatiku di Sekolah Menengah Kebangsaan Saujana Impian, Kajang pada 12 Ogos 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

David berkata sebagai wakil rakyat tanggungjawabnya mencakupi pelbagai aspek tidak hanya tertumpu kepada menyelesaikan masalah kebajikan rakyat, banjir, sampah, kerosakan dan kesesakan jalan raya saja.

“Tetapi saya juga perlu mengambil tanggungjawab berkenaan isu lain seperti kebersihan alam sekitar, kesihatan dan pendidikan,” katanya.

Pada sidang media beliau memaklumkan monyet dari spesies Dusky Leaf yang populasinya semakin pupus namun masih boleh ditemui di kawasan hutan sekitar Sungai Long, Kajang dipilih sebagai maskot kempen itu.

Sementara itu Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan berkata kempen itu amat bertepatan bagi memupuk tanggungjawab menjaga kebersihan dalam kalangan masyarakat.

“Kajang antara DUN dalam Parlimen Bangi yang mencatat kes demam denggi tinggi, jadi insiatif seperti ini mampu mengurangkan wabak daripada terus berleluasa,” katanya.


Pengarang :