AGENDANASIONAL

Reman kenalan lelaki Cikgu Istiqomah disambung tujuh hari

ALOR GAJAH, 12 OGOS: Mahkamah Majistret Alor Gajah hari ini membenarkan permohonan sambung reman selama tujuh hari terhadap kenalan lelaki mangsa pembunuhan Cikgu Istiqomah Rozi, yang mayatnya ditemukan tanpa kepala di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang di sini pada 31 Dis lalu.

Perintah sambung reman sehingga 19 Ogos itu dikeluarkan Majistret Dr Teoh Shu Yee, bagi membantu polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Isteri suspek berusia 36 tahun, yang turut direman bersamanya selama seminggu sejak 6 Ogos, dibebaskan dengan jaminan polis.

Terdahulu, suspek yang mengenakan pelitup muka dan memakai pakaian lokap berwarna jingga, dibawa ke perkarangan Mahkamah Alor Gajah kira-kira 8.30 pagi.

Pada 6 Jan, media melaporkan penemuan mayat wanita tanpa kepala, kedua-dua tangan dan kaki, dalam tong sampah di tepi jalan Alor Gajah-Tampin berdekatan Kampung Rimau, Pulau Sebang kira-kira 2 petang.

Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dibunuh dengan anggota badan iaitu kepala, tangan dan kaki dipotong dan disumbat ke dalam tong sampah, sebelum dibuang ke dalam longkang.

Bagaimanapun, identiti mangsa gagal dikenal pasti dan pihak patologi hanya mengesahkan mayat dianggarkan berumur antara 20 hingga 30-an dan merupakan seorang wanita.

Berikutan penemuan mayat tanpa kepala itu, polis turut menjalankan ujian DNA ke atas dua kes orang hilang dalam tempoh sebulan lalu namun keputusannya negatif.

Selepas lapan bulan, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Ashari Abu Samah hari ini mengesahkan mayat berkenaan dikenal pasti sebagai Istiqomah Ahmad Rozi, 33, yang dilaporkan hilang pada 27 Dis 2023.

Ashari berkata risikan Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Melaka dengan kerjasama JSJ Johor serta Bahagian Siasatan Jenayah Polis Alor Gajah, menahan sepasang suami isteri berusia 36 dan 37 tahun di Chemor, Perak dan dibenarkan reman selama tujuh hari pada 6 Ogos.

– BERNAMA


Pengarang :