Hujan meteor Perseids dirakam awal pagi ini di Kampung Lubuk Batu, Marang pada 13 Ogos 2021. Foto Facebook Bernama
AGENDANASIONAL

Peluang lihat 100 meteor melintasi langit Malaysia malam ini

SHAH ALAM, 12 OGOS: Peminat sains astronomi berpeluang menyaksikan sendiri fenomena angkasa unik dikenali sebagai Hujan Meteor Perseids malam ini.

Menurut Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) kejadian dijangka berterusan hingga subuh 13 Ogos dengan purata 100 meteor per jam melintasi langit negara ini.

Fenomena itu berlaku setiap tahun apabila bumi beredar mengelilingi matahari dan merentasi laluan orbit komet Swift-Tuttle.

“Kenampakan hujan meteor tersebut adalah baik kerana bulan akan terbenam pada tengah malam semasa waktu kemuncak fenomena ini berlaku.

“Hujan Meteor Perseids merujuk kepada titik kemunculan hujan meteor di langit iaitu di kawasan buruj Perseus. Kemunculannya masih boleh berlaku dari pelbagai arah,” menurut agensi itu di Facebook.

Berikut tips yang boleh digunakan untuk mencerap Hujan Meteor Perseids:

– Pastikan anda berada di kawasan lapang yang selamat serta keadaan persekitaran dan langit yang gelap (tiada gangguan cahaya).
– Pandangan anda juga tidak terhalang dengan bangunan yang tinggi, pokok atau rumah.
– Jauhi persekitaran yang bercahaya. Lebih gelap, lebih baik.
– Sesuaikan mata anda dengan keadaan yang gelap selama 20 minit.
– Tidak perlu memfokuskan ke arah buruj Perseus sahaja untuk melihat hujan meteor ini kerana ia boleh muncul dari pelbagai arah dan pada bila-bila masa.


Pengarang :